Sunday, September 25, 2011

Kisah Cinta Qalisha 1

BAB 1

Meeting bersama AJK MPP tamat agak lewat petang itu. Qalisha Humaira terus berlalu dengan pantas. Terasa wajahnya bagai disimbah dengan air ketika meeting kali ini dijalankan. Teruk dia dimarahi dan ditengking Amir Hamzah, president MPP yang kononnya dihormati oleh semua pelajar di kolej itu. Semuanya gara-gara dia terlewat menghantar laporan untuk bironya. Laporan itu disiapkan sehari lewat dari tarikh yang dikehendaki dek kerana kekangan masa untuk menyiapkan assignmentnya yang bertimbun.

Sangkanya dia akan diberi teguran secara baik, tambahan pula ini adalah kesalahan pertamanya sejak 5 bulan menyandang jawatan sebagai AJK MPP. Namun, saat dia memohon maaf secara terbuka dihadapan semua ahli jawatan kuasa, dia diserang dengan ayat-ayat power yang menyakitkan hati daripada mulut berbisa Amir Hamzah.

“Kalau awak rasa tak mampu nak buat, baik awak letak jawatan sahaja.” Ujar lelaki itu dengan nada yang agak tinggi.

Qalisha Humaira mengetap bibirnya. Hatinya terasa panas. Dia ingin membalas tetapi akalnya menimbang. Apa gunanya melawan api dengan api? Akhirnya dia hanya mendiamkan diri.

“Saya tak nak ada diantara kalangan kita buat perangai macam ni. Ini adalah amanah. Laksanakan amanah yang diberi dengan bertanggung jawab. Ingat, kita dipilih untuk jadi wakil pelajar bukan sekadar suka-suka. Bukan setakat nak tayang muka, tersengih-sengih. Kita kena berbakti pada kolej dan pelajar. Kita adalah kepercayaan pelajar.” Makin panjang pula Amir Hamzah berleter.

Qalisha Humaira terdiam. Apa dia ingat aku sengaja ke nak tersengih-sengih jadi MPP ni? Aku taulah kerja aku. Lewat sehari pun nak kecoh. Macam siot je mamat ni!
Namun kata-kata itu tersekat di kerongkongnya. Menjawab bermakna dia akan menyemarakkan api yang sedang membakar.

”Kalau gagal nak pegang amanah, samalah maknanya gagal menjadi pemimpin!” Tegas Amir Hamzah. Seolah-olah cuba membuatkan Qalisha Humaira menjawab.

”Maafkan saya.” Sekali lagi Qalisha Humaira memohon maaf.

”Kalau maaf tu senang-senang boleh dimintak, apa guna polis kat dunia ni? Semua boleh settle dengan mintak maaf!” Sekali lagi Amir Hamzah membakar.

Ek eleh mamat ni. Poyo betul la. Orang dah mintak maaf tu, maafkan je lah! Aku dah hantar pun report tu. Yang nak cerita pasal polis ni apa ke halnye?! Hati Qalisha membentak lagi. Wajah Qalisha Humaira bertukar merah menahan malu dan marah. Semua ahli AJK lain memerhatikan wajah Qalisha Humaira itu. Ada yang bersimpati, ada juga yang menyokong kata-kata Amir Hamzah. Ye lah, tak terkena batang hidung sendiri, buat apa nak terasa?

Qalisha Humaira terus bergerak pulang ke apartment tempat tinggal yang disewanya dengan perasaan yang berbuku. Malu, marah dan sedih menjadi satu. Dia terasa seperti mahu meletak jawatannya saat itu!

*****

Asap rokok dihembusnya perlahan. Qalisha Humaira memerhatikan asap rokok itu dengan pandangan kosong. Seolah-olah mencari ketenangan diri dengan memerhatikan asap rokok itu dalam kegelapan malam. Dia menyedari betapa bahayanya merokok tetapi habit itu tidak dapat dipisahkan. Dia mula berjinak-jinak dengan rokok sebelum bergelar mahasiswa lagi. Sejak di tingkatan 5. Yang pasti tiada siapa yang tahu dan tiada siapa yang pernah mengajarnya menghisap rokok. Dia sendiri yang mahu mencuba!

Ketika itu, mama dan papanya diambang penceraian. Dia tiada tempat mengadu, lantas disalurkan kemarahan dan kesedihannya dengan menghisap rokok. Bermula dengan cuba-cuba akhirnya menjadi kebiasaan. Kebiasaan saat dia marah atau bersedih. Dengan cara itu dia dapat melupakan seketika masalahnya. Dia di dalam dunianya sendiri dengan merokok!

Dia mula memikirkan untuk mencuba setelah melihat seseorang merokok. Seseorang yang pernah mengusik hati gadisnya. Seseorang yang kini cuba dilupakan. Tiba-tiba dia terkenang seseorang itu.

Cikgu Saiful Nizam! Nama itu diseru perlahan. Cikgu lelaki yang mempunyai wajah yang keanak-anakan. Baby faced kata omputeh! Perwatakan seorang cikgu yang memahami dan disenangi oleh semua pelajar sekolahnya ketika itu.  Cikgu itu yang mengajar dia bersabar. Cikgu itu menjadikan dia tabah. Cikgu itu menjadikan dia redha dengan segalanya. Dan cikgu itu juga menjadikan dia seorang perindu yang sabar. Dia menyayangi cikgu itu sehinggakan dia tidak tahu apakah sebenar perasaannya. Sayang sebagai pelajar kepada guru atau sayang sebagai seorang perempuan kepada lelaki.

”Awak memang pelajar yang terbaik yang pernah saya ada.” Ayat itu masih terngiang-ngiang ditelinganya.

Qalisha Humaira hanya mampu tersenyum ketika itu. Saya sayang cikgu! Kata-kata yang hanya mampu terlafaz dalam hatinya. Masakan dia akan melupakan kenangan bersama cikgu itu. Bermula dengan ekspedisi memanjat Gunung Tahan, dia mula rapat dengan cikgu Saiful Nizam. Mustahil untuk dia lupakan kesanggupan guru itu menjaganya ketika kakinya terseliuh ketika mendaki gunung itu. Cikgu itu memberikannya semangat untuk selamat sampai ke puncak dan turun kembali ke bawah.

Pertemuan demi pertemuan dengan guru itu menjadikan mereka akrab. Keakraban mereka sehinggakan ada yang salah mentafsir hubungan mereka berdua. Ketika itu Cikgu Saiful Nizam berumur 24 tahun dan dia sendiri berumur 17 tahun. Dia tidak pedulikan semua itu kerana dia sendiri tidak pasti tentang hubungan mereka.

Cikgu Saiful Nizam tidak pernah meyatakan sebarang perasaan kepadanya, jauh sekali memberikan sebarang harapan kepadanya. Namun begitu layanan baik Cikgu Saiful Nizam kepadanya menjadikan dia sendiri keliru dengan perasaan sebenar gurunya itu. Dia tidak pernah bertanya selagi Cikgu Saiful Nizam tidak bersuara. Itulah tekadnya ketika itu.

Lantas dia teringat peristiwa yang mendebarkan hatinya ketika bersama cikgu itu. Ketika itu dia sedang menikmati keenakan burger di sebuah restaurant fast food yang terkenal bersama cikgu Saiful Nizam. Usai makan, mereka masih bersembang-sembang. Bergelak ketawa untuk menghilangkan stress belajar. Tiba-tiba cikgu Saiful Nizam mengelap tepi mulutnya.

“Ish, comot betul awak ni!” Katanya sambil terus mengelap tepi mulut Qalisha Humaira dengan sehelai tisu.

Dia sekadar tersenyum. Sedangkan hatinya dijentik perasaan berdebar-debar ketika itu.

“You are so cute.” Tiba-tiba dia terdengar pujian gurunya itu.

Dap! Jantungnya berdetak. Apa maksud cikgu ni? Hatinya tertanya-tanya.

Di dalam kereta, ketika mengahantar Qalisha Humaira pulang, suara cikgu Saiful Nizam memecahkan sepi. “Mind if I smoke? I just can’t help not to after a meal.”

Qalisha Humaira tersentak. “Help yourself.” Ujarnya perlahan. Dia benar-benar tidak kisah. “So you are a smoker?” Tanyanya pula.

“Em, yes. Tapi rokok tak baik untuk kesihatan tau.” Balas cikgu Saiful Nizam sambil mengenyitkan matanya.

Qalisha Humaira hanya tersenyum. Dah tau tak baik, hisap jugak. Hatinya mendesis.

Dan kini dia sendiri sedang menghembuskan asap rokok!

Qalisha Humaira bersandar pada dinding belakang banggunan apartment itu. Satu keluhan berat dilepaskannya. Kenangan manis itu sebenarnya terlalu pahit untuk ditelan. Dia menjeling jam tangannya, tepat 8.15 malam. Saat itu dia melepaskan asap rokok yang terakhir sebelum memijak-mijak puntung rokok itu. Tanpa disedarinya ada sepasang mata memerhati perbuatannya itu. Sekadar memandang tanpa mempunyai apa-apa perasaan.

Qalisha Humaira pula sudah menanggalkan jaketnya. Lantas dia menyumbatkan jaket dan kotak rokok ke dalam beg sandangnya. Dia mengelap untuk membuang sapuan lip balm pada bibirnya yang dipakai sebelum merokok. Penyembur pewangi mulut pula disembur ke mulutnya sebelum mengunyah gula-gula getah. Dia turut menyembur spray perfume ke bajunya. Dia melakukan perkara itu sejak berjinak-jinak menghisap rokok. Kerana itu dia tidak pernah terkantoi!

Dia bijak menutup keburukannya itu walaupun cara itu agak menyusahkannya. Semuanya dilakukan dengan kesanggupan demi kepuasan dirinya sendiri. Perlahan dia meninggalkan port kegemarannya sejak berpindah ke apartment itu dengan hati yang sedikit terubat menuju ke tempat pertemuan kawan-kawannya, tidak jauh dari situ. Ada perbincangan mengenai assignment dengan ahli groupnya malam ini.

“Hi, you all! Sorry lambat, jammed tadi.” Ujarnya memberi alasan tidak logik.

“Huh, banyak la kau punya jammed! Jalan kaki sekangkang kera, jammed celah mana?” Suraya Ilhami bertanya, lebih kepada bergurau.

”Hahaha...” Soalan itu disambut dengan ketawa ceria ahli group yang lain. Qalisha Humaira tersenyum, senang hati.

*****

Iskandar Zulkarnain membaringkan tubuhnya ke sofa. Dia memandang seluruh bilik tidurnya itu. Kemas dan teratur. Di suatu sudut tersusun koleksi figura hero-hero kegemarannya. Dia memejamkan mata. Cuba merehatkan fikirannya. Penatnya! Hatinya menggumam.

“Qalisha Humaira.” Nama itu meniti dibibirnya. Wajah gadis itu kelihatan lemah lembut dan sangat bersopan. Rambut lurus paras bahu menambahkan kecantikannya. Ketika berbicara, kedengaran ayat-ayat yang disusun sangat teratur. Walaupun marah, Qalisha Humaira tetap menjaga tutur katanya. Kenapa gadis golongan baik-baik seperti itu menghisap rokok?

Dia teringatkan pertama kali dia melihat Qalisha Humaira. Gadis itu kelihatan terburu-buru menuju ke belakang banggunan apartment. Ketika itu Iskandar Zulkarnain ingin pulang ke rumahnya. Sudah 2 hari dia ‘berkampung’ di rumah kawannya menyiapkan final project untuk subject C++. Dia pernah melihat Qalisha Humaira sebelum ini, malah dia pernah mengundi Qalisha Humaira sebagai salah seorang wakil MPP. Hatinya digaru rasa ingin tahu, dia mengekori langkah gadis itu.

Terkejut dia melihat Qalisha Humaira sedang asyik menyedut asap rokok. Wajah Qalisha Humaira kelihatan tegang ketika itu seolah-olah menghadapi masalah yang berat. Sejak hari itu dia kerap bertembung dengan gadis itu. Dia juga sudah terbiasa memerhatikan Qalisha dengan ekor matanya sepanjang mereka di kolej.

“Is!” Kedengaran namanya di seru.

Perlahan dia membuka matanya. Kelihatan kakaknya sedang tersenyum mesra. Kakak sulungnya yang berusia 26 tahun itu baru sahaja pulang dari tempat kerja. Kot yang dipakainya ditanggalkan. Dia menepuk peha adiknya menyuruh bangun. Iskandar Zulkarnanin terus bangun dari pembaringan dan membetulkan duduknya. Dia membiarkan kakak kesayangannya itu duduk di sebelahnya.

“Penat ke?” Tanya Nur Syalisa kepada adiknya itu.

“Emm…” Suara Iskandar Zulkarnain kedengaran seperti malas bersuara.

“Kenapa ni? Tengok akak, walaupun penat balik kerja pun okay jer…” Nur Syalisa bersuara.

“Tak ada apa. Biasa lah, banyak assignment. Kuiz dangan test pun dah beratur. Penat otak, penat badan, semua penatlah…” Iskandar Zulkarnain mengadu.

“Oh… Ingatkan ada masalah negara tadi. Kalau hal belajar, memang la penat. Tak pe lah, nanti time cuti semester nanti, rehat lah puas-puas.” Pujuk Nur Syalisa pula.

“Ye lah…” Balas Iskandar Zulkarnain malas. “Akak baru balik kerja ni terus masuk bilik Is ada apa-apa ke?” Tanyanya lagi. Sebenarnya dia memang tahu kakaknya itu suka ‘melepak’ di biliknya. Hubungan dua beradik ini memang agak rapat sejak kecil. Terlalu banyak suka dan duka yang dikongsi mereka.

“Saja. Dah lama tak jumpa Is. Jom teman akak rehat kat bawah.” Ajak Nur Syalisa pula.

“Laa… Kat bilik Is je tak boleh ke?” Iskandar Zulkarnain membuat tawaran.

“Kalau setakat nak rehat kat bilik, akak pun boleh rehat kat bilik akak. Jom lah.” Ajak Nur Syalisa lagi sambil menarik tangan adiknya.

“Okay… Okay…” Balas Iskandar Zulkarnain. Dia membuntuti kakaknya turun ke bawah. Tahu sangat dia maksud ‘rehat kat bawah’ kakaknya itu bermakna beristirehat di dalam taman kecil hadapan rumah mereka. Seperti biasa mereka menghabiskan masa berjam-jam di taman kecil itu dengan berbual dan berkongsi cerita.

“Paksu ada e-mail Is tak?” Kakaknya tiba-tiba bertanya.

“Tak ada pula. Kenapa kak?” Tanya Iskandar Zulkarnain pula.

“Saje. Dah lama la pulak tak dengar cerita dia kan?” Ujar Nur Syalisa lebih kepada dirinya.

“Busy la tu. Dia kerja kat Jepun kak. Tahu-tahu lah macam mana.” Balas Iskandar Zulkarnain.

“Akak rasa nak cari kerja kat sana lah. Okay tak?” Tiba-tiba kakaknya meminta pedapat.

“Jangan nak mengada. Kat Malaysia ni banyak lagi tempat akak boleh kerja. Tu syarikat papa tu macam mana? Nak suruh Is take over ke?” Balas Iskandar Zulkarnain mengingatkan.

“Okay juga tu. Akak rasa malas dah nak kerja kat syarikat papa. Tension memanjang.” Nur Syalisa mengadu.

“Alaa… Ambil lah cuti. Ni sampai nak tukar kerja sampai ke Jepun. Macam lah tension sangat.” Iskandar Zulkarnain separuh memujuk.

“Kalau kat Jepun nanti, boleh lah akak cari calon suami orang Jepun. Senang sikit…” Nur Syalisa mula mengarut.

Iskandar Zulakrnain mengerutkan kening. “Apa yang senangnya?” Tanyanya.

“Nanti kalau mama bising-bising dia bukan faham Bahasa Melayu. Tak adalah dia nak kecil hati ke apa ke.” Nur Syalisa bersuara menahan gelak.

“Betul jugak tu…” Iskandar Zulkarnain mula bersetuju. Dia tahu sungguh dengan sikap suka berleter mamanya itu. Ada sahaja yang tak kena antara mereka dua beradik. Ada sahaja yang nak di tegurnya. Iskandar Zulkarnain terkenang mamanya.

Puan Sharifah Huda yang berusia pertengahan 50 an. Masih kelihatan cergas dan aktif dengan aktiviti-aktiviti berpesatuan. Kadang-kadang mama mereka itu turut menjenguk ke syarikat milik keluarga mereka. Malah Puan Sharifah Huda merupakan salah seorang pemegang saham syarikat terbesar selain papa mereka. Jarang bersua dengan mamanya itu, menjadikan Iskandar Zulkarnain kadang-kadang terlupa dengan mamanya. Kadang- kadang sampai seminggu dia tidak melihat mamanya itu.

“So akak betul-betul nak pergi Jepun ke?” Iskandar Zulkarnain bertanya.

“Tengok lah nanti. Paksu pun ada kat sana. Senang lah kot kalau akak betul-betul nak kerja kat sana.” Nur Syalisa membalas malas.

“…” Iskandar Zulkarnain kelu. Kalau akak pergi, siapa nak jaga Is? Hatinya bersuara walaupun mulutnya terkunci rapat.

“Jom lah naik. Dah dekat 12 malam ni.” Nur Syalisa mengajak.

*****

Saturday, September 24, 2011

Kisah Cinta Qalisha 2

BAB 2

Deringan handphonenya menarik minat Qalisha Humaira. Nada deringan khas untuk mamanya itu dinyayikan perlahan sebelum menjawab panggilan itu.

”Hi mama!” Terus menyapa mamanya.

”Assalamualaikum, sayang!” Mamanya memberi salam.

Oppss! ”Waalaikumussalam warahmatullah hiwabarakatuh mama!” Jawabnya dengan panjang.

Kedengaran tawa halus mamanya.

”Sayang, minggu ni balik rumah mama boleh? Mama ada hal nak tanya Qisha.” Lembut suara mamanya mengharap.

“Okay.” Lantas perbualan itu bersambung dengan soalan rutin sebelum lagi sekali mamanya memberi salam untuk menamatkan perbualan.

Hujung minggu, Qalisha Humaira memandu pulang ke rumah mamanya. Ketika dia sampai di rumah itu, kelihatan mamanya sedang berehat-rehat di taman mini di hadapan rumah. Taman kecil itu memang dijaga baik oleh mamanya. Di taman itu juga tempat mereka sekeluarga pernah berehat bersama-sama. Papa, Mama, Along dan dirinya. Along! Hatinya mendesis. Tiba-tiba dia teringatkan abangnya itu.

Dia melangkah merapati mamanya. Menghulurkan tangan menyalami dan menciumi pipi mamanya sebelum melabuhkan diri di atas kerusi yang memang tersedia.

“Apa khabar mama?” Tanyanya perlahan.

“Sihat. Qisha?” Mamanya pula bertanya.

“Okay… Ada apa mama suruh Qisha balik ni?” Tanya Qalisha tidak sabar.

Mamanya hanya tersenyum. Wanita berusia lewat 40-an itu kelihatan masih menarik. Mamanya memang cantik. Sentiasa berwajah ceria dan menyenangkan mata yang memandang. Puan Hanissa menelan air liurnya. Dia memerlukan kekuatan untuk membicangkan hal itu dengan anaknya itu. Dia menyedari satu-satunya anak perempuannya itu pernah terluka dengan perpecahan keluarga mereka. Tetapi seingatnya anaknya itu hanya pernah menangis dihadapannya sekali.

“Betul ke ni mama?” Soalan itu yang ditanya kepadanya saat dia memberitahu perpisahannya dengan Encik Qarimi, papa Qalisha Humaira. Kelihatan mutiara jernih mengalir membasahi pipi anaknya. Namun air mata Qalisha Humaira tidak langsung menggugat keputusannya itu.

“Maafkan mama, sayang. Ini ajalah jalan terbaik untuk kami berdua.” Dia menerangkan kepada Qalisha Humaira. Dia sedar anaknya itu baru berumur 17 tahun ketika itu. Terlalu mentah untuk menerima perpisahan itu.

Itulah kali terakhir dia melihat air mata Qalisha Humaira. Mungkin anaknya itu dapat menerima perpisahan itu dengan baik, sangkanya. Qisha memang seorang anak yang tabah. Hatinya memuji Qalisha Humaira tanpa mengetahui bahawa anaknya itu sebenar-benarnya sangat terluka dengan perpisahan itu.

“Mama nak kahwin…” Ayat itu terlepas daripada mulutnya. Dia memandang wajah Qalisha Humaira di hadapannya. Dia bertekad sekiraya Qalisha Humaira membantah, dia tidak akan meneruskan niatnya itu.

“Oh…” Sepatah perkataan itu terkeluar daripada bibir Qalisha Humaira.

Sesungguhnya hati Qalisha Humaira terluka. Dia benar-benar kecewa dengan keputusan mamanya mahu berkahwin lain. Sedangkan dia sedang berkira-kira mahu menyatukan mama dan papanya kembali.

Uncle Zahidi memang baik. Dia pernah berjumpa dengan lelaki itu sebelum ini. Seorang duda yang mempunyai dua anak perempuan. Namun begitu Qalisha Humaira tidak pernah pula bertemu dengan anak-anak lelaki itu. Menurut mamanya, mereka akan mengadakan pertemuan nanti bersama keluarga Uncle Zahidi. Dia mengukirkan senyuman saat mamanya bertanyakan persetujuannya.

”Kalau mama rasa bahagia, Qisha tak kisah.” Ayat itu terluah dibibirnya. Hatinya menangis saat itu. Dia kecewa, benar-benar kecewa.

Petang itu setelah pulang dari rumah mamanya dia menerima panggilan papanya pula. Papanya mengajak Qalisha Humaira makan malam bersama. Katanya ada perkara yang ingin dibincangkan. Qalisha Humaira hanya bersetuju. Hatinya berdetik, baru jumpa mama, lepas tu jumpa papa pulak. Bila agaknya boleh jumpa mereka berdua serentak?

Ketika menikmati makan malamnya, papanya bertanyakan mengenai persetujuannya untuk berkahwin lain. Dengan Aunty Sarah. Aunty Sarah yang cantik, muda dan berseri tetapi tidak pernah disukai Qalisha Humaira. Baginya Aunty Sarah hanya gilakan kesenangan papanya. Tidak lebih dari itu. Mungkin juga papanya tergolong dalam golongan handsome, menjadi satu pakej papanya untuk Aunty Sarah!

”Kalau papa rasa bahagia, adik tak kisah.” Ayat yang hampir sama digunakan untuk menjawab pertanyaan mamanya kepada papanya. Hatinya bertambah pedih. Terlalu perit sehingga menyebabkan air matanya mengalir ketika bersendirian malam itu.

Sekali lagi, di port biasanya Qalisha Humaira menangis sambil merokok. Air matanya mengalir tanpa henti. Dia mematikan puntung rokok itu dan terduduk. Dia benar-benar menangis. Tersedu-sedu tanpa sesiapa memujuknya. Dia melepaskan tangisannya dengan besunguh-sungguh. Sesiapa yang melihat pasti dapat merasakan penderitaannya. Kerana itu dia tidak pernah menangis di depan sesiapa pun. Dia tidak mahu orang lain menyaksikan keperitannya itu.

Tanpa disedarinya sepasang mata milik Iskandar Zulkarnain memerhati dari kejauhan. Hati lelaki itu berdetak. Melihat seorang gadis menangis sebegitu hatinya terasa sayu. Kamera DSLR yang tergantung dilehernya di angkat. Dia mula merakam gambar gadis itu.

Iskandar Zulkarnain sebenarnya sudah kerap memerhatikan Qalisha Humaira. Hampir setiap kali wajah sebelum dan selepas Qalisha Humaira merokok diperhatikannya. Dia menjadi pemerhati di setiap kemarahan dan kesedihan gadis itu. Pemerhati yang setia. Pada mulanya dia hanya memerhati, tapi kini dia terasa mahu menegur. Tetapi bukan kali ini. Dia tidak tahu apa yang boleh diperkatakan pada gadis itu.

Dan malam itu Qalisha Humaira melangkah lesu ke apartmentnya dengan hati yang walang. Dia berharap esok, dia mampu bangun dan menjalani hari-harinya seperti biasa.

*****

Di library kolej mereka kelihatan lengang. Iskandar Zulkarnain memandang Qalisha Humaira yang sedang termenung di hadapan bukunya. Buku itu tidak di belek. Sekadar memandang tanpa berbuat apa-apa. Seketika, kelihatan dua orang kawan Qalisha Humaira menghampiri. Aneh, secepat itu, sebuah senyuman terukir dari bibir Qalisha Humaira apabila menyedari kehadiran teman-temannya. Malah gadis itu kelihatan seolah-olah bahagia bersama rakan-rakannya. Senyuman dan gelak tawa sentiasa mengiringi wajah gadis itu di saat dia bersama-sama temannya.

Fake smile with her poker face! Hati Iskandar Zulkarnain berdetik. Dia terasa ingin mengenali gadis itu dengan lebih dekat. Dia ingin mencungkil rahsia gadis itu. Bahunya di tepuk mematikan renungannya terhadap Qalisha Humaira. Amir Hamzah tersenyum-senyum disebelahnya.

“Ai, bro. Pandang orang macam nak telan. Kau bukan tak minat perempuan ke?” Tanya Amir Hamzah mengekor pandangan Iskandar Zulkarnain.

“Agak-agak la. Aku bukan gay okay. Mestilah tertarik jugak dengan perempuan.” Iskandar Zulkarnain membalas. Serius.

”You, you jangan curang dengan I tau. Nanti I pecahkan cermin kereta you!” Amir Hamzah masih dalam mood bergurau.

Iskandar Zulkarnain membulatkan matanya. Geli-geleman tubuhnya dirasakan saat itu. Dia memerhatikan sekeliling dalam library itu. Bimbang juga kalau ada yang memasang telinga. Tak ke haru jadinya kalau orang sangka president MPP itu gay, dan dia adalah pasangan lelaki itu? Hell no!

”Stop joking. Gila kau, kalau ada student lain dengar, mampus kita!” Marah Iskandar Zulkarnain.

”Hahaha... Ooo... Rupa-rupanya se-brutal-brutal kau takut jugak ye?” Amir Hamzah mengusik. ”Jom lah, I dah lapar ni sayang. You belanja ye?” Dia meneruskan lakonannya sambil menarik tangan Iskandar Zulkarnain.

”Sengal kau!” Sepantas itu kepala Amir Hamzah menerima satu ketukan dikepala yang agak kuat.

”Woi, sakitlah!” Marah Amir Hamzah pula.

”Padan muka kau!” Balas Iskandar Zulkarnain mengejek.

Akhirnya mereka sama-sama tertawa. Sekumpulan pelajar memerhatikan mereka. Opps... Dalam library mana boleh bising! Lantas kedua-dua teman itu melangkah keluar daripada library itu. Dari kejauhan, mata milik Suraya Ilhami memerhati kedua-dua teman itu.

”Bising betul. Tak padan dengan jawatan president MPP!” Ujar Farhana.

“Alaa… Biasalah, bergurau-gurau macam tu.” Suraya Ilhami membela.

“No comment!” Sahut Qalisha Humaira pula.

Marahnya pada Amir Hamzah kerana dimalukan ketika meeting tempoh hari sudah lenyap. Itulah kelebihan Qalisha Humaira, marahnya hanya sekejap. Cuma kesedihannya yang sukar di tanganinya sendiri. Dia memerlukan masa untuk mengubat rawan hatinya itu. Entah dari mana, muncul Khairul Hakimi. Dia merapati 3 sekawan itu. Sambil tersengih-sengih dia menegur Qalisha Humaira.

“Qisha, jom pergi makan.” Ajaknya.

”Ehem-ehem. Qisha je ke? Kitorang ni macam mana?” Farhana mengusik.

”Eh, jom sekali lah.” Jawab Khairul Hakimi tersenyum. Aduh, macam mana boleh lupa kat dua orang minah ni pulak?

“Jomlah. Lapar ni. Nanti lah kita sambung pasal presentation Mr. Ajim ye?” Ajak Suraya Ilhami pula. Akhirnya mereka berempat menuju ke food court kolej itu.

*****

Khairul Hakimi tersenyum sendiri di hadapan laptopnya. Matanya memusatkan pandangan ke arah screen laptopnya itu. Kelihatan wajah Qalisha Humaira tersenyum gembira di hadapan sebuah poster. Gambar itu diambilnya ketika mereka keluar bersama-sama menonton wayang. Ketika itu mereka baru sahaja berkenalan. Itupun kerana mereka terlibat dalam satu projek kelas. Sejak hari itu dia mula merapati Qalisha Humaira dan dia sedar dia sudah jatuh hati kepada gadis itu cuma dia malu untuk menyatakan perasaannya itu. Baginya Qalisha Humaira hanya menganggap dia sebagai teman satu group membuat assignment, tidak lebih dari itu.

Ketika makan tengah hari tadi dia sengaja mengambil tempat di sebelah Qalisha Humaira. Nasib baik Suraya Ilhami dan Farhana tidak banyak soal. Ketika makan, tanpa sengaja Qalisha Humaira menyedut minumannya.

“Opps… Sorry… Sorry… Qisha ganti air lain ye.” Qalisha Humaira bersuara. Wajahnya kelihatan begitu bersalah.

“Tak pe la.  I tak kisah lah…” Khairul Hakimi bersuara sambil menyedut airnya itu. Indirect kiss! Hatinya berkata-kata.

Dia tersenyum sendiri mengenang peristiwa itu. Kadang kala dia ingin berterus terang perasaannya kepada Qalisha Humaira tetapi dia amat takut dengan reaksi gadis itu. Akhirnya dia mengambil keputusan agar perasaan cintanya itu disimpan jauh di sudut hati. Kalau ada jodoh, adalah tu… Putus hatinya.

*****

Friday, September 23, 2011

Kisah Cinta Qalisha 3

BAB 3

Malam itu Qalisha Humaira menapak ke port biasanya. Dia menggerutu marah. Hatinya benar-benar panas dengan sikap housematenya yang seorang itu. Qalisha Humairah dituduh meminati Amir Hamzah.  Lebih menyakitkan hatinya, housematenya yang bernama Aryana Ilhami itu adalah adik kepada Suraya Ilhami, rakan sekelasnya merangkap rakan satu groupnya membuat assignment! Nasib baiklah dia tidak serumah dengan Suraya Ilhami, kalau tidak mesti keadaan menjadi lebih rumit. Aryana Ilhami menangis-nangis memintanya menjauhi Amir Hamzah. Penat dia menerangkan kepada Aryana Ilhami mengenai hal itu.

“Betul, Yana. Akak memang tak ada apa-apa perasaan pada Amza. Dia kan pakwe Yana, akak memang tau tu. Dan akak tak pernah pun tersuka kat dia. Percayalah.” Pujuknya.

“Tapi saya nampak dia pandang akak hari tu.” Balas Aryana Ilhami teresak-esak.

What the hell? Dah pakwe kau pandang aku, aku pulak yang kena. Si Mr. President ni pun satu, dah ada awek nak usha-usha aku pulak! Susah betul!

Akhirnya setelah hampir sejam memujuk, barulah Aryana Ilhami berhenti menangis. Dasar budak-budak bercinta! Hatinya mengutuk keras. Dan malam itu sekali lagi kerana Amir Hamzah, dia merokok membuang rasa marahnya! Saat dia menyalakan nyalaan puntung rokok kedua, dia terasa ada orang menghampirinya. Crap! Dia menundukkan wajahnya. Berharap walau sesiapa pun dihadapannya tidak mempedulikannya.

“Qalisha Humaira!” Namanya diseru lelaki itu.

Spontan Qalisha Humaira mengangkat wajahnya. Dia merenung mata lelaki itu. Lelaki yang bernama Iskandar Zulkarnain, agak terkenal dengan wajah handsome, anak orang berada yang sedikit nakal itu. Konon-kononnya dia pernah dinasihatkan untuk berhenti kolej kerana melakukan kesalahan bergaduh dan juga merokok dalam kolej kediaman. Oppss... Merokok? Hahaha…

Tetapi lelaki itu tidak berhenti belajar, malah berkawan baik pula dengan President MPP! Dan kedengaran juga desas-desus mengatakan lelaki itu sudah insaf maka semua kesalahan lelaki itu dimaafkan. Senang betul ceritanya!

Lamunan Qalisha Humaira terhenti. Rokok ditangannya disambar lelaki itu. Tanpa berkata apa-apa Iskandar Zulkarnain menghidupkan lighter dan menikmati rokok itu. Qalisha Humaira mengambil keputusan untuk melarikan dirinya. Dia mula bergerak, melangkah menjauhi lelaki itu.

“Kalau kau pergi, aku akan beritahu semua orang kau merokok!” Lelaki itu mengugut tanpa memandang Qalisha Humaira.

Langkah Qalisha Humaira terhenti. Dia menanti ayat-ayat yang bakal keluar daripada mulut lelaki itu.

“Apa agaknya orang akan kata bila tahu Qisha MPP ni seorang perokok?” Tanya Iskandar Zulkarnain.

Qalisha Humaira ketawa. Perlahan dan sinis. ”Agak-agak kau, siapa yang percaya kata-kata kau. Siapa tak kenal Iskandar Zulkarnain? Suka mengenakan orang. Dengan reputasi ’baik’ kau tu, agak-agak kau ada yang percaya ke?” Qalisha Humaira membalas, berani.

”Wow, so you do know me? Popular jugak la aku ni kan?” Lelaki itu masih mahu bermain tarik tali.

”Perasan!” Sebaris perkataan itu terpacul daripada mulut Qalisha Humaira.

”Hahaha... Mungkin ini akan buat kau terdiam dan fikir balik apa yang kau cakapkan tu.” Lantas Iskandar Zulkarnain menghulurkan beberapa keping gambar.

Mulut Qalisha Humaira ternganga. Gambar-gambar itu menunjukkan dia sedang merokok. Dan diantara beberapa keping gambar itu terselit sekeping gambarnya sedang menangis. Buruk betul muka aku masa tu! Hatinya sempat berkata-kata.

”Apa yang kau nak?” Getaran suara Qalisha Humaira terkeluar.

”Emm. Esok kita berjogging tepat 7 pagi. Aku tunggu kau depan pondok pak guard esok. Siap kau kalau kau tak datang.” Ujarnya sambil mendekati Qalisha Humaira. ”Ini aku punya!” Tambah lelaki itu lagi. Ditayangkan kotak rokok dan lighter milik Qalisha Humaira dalam genggamannya. Lelaki itu berpaling dan melangkah pergi sambil mengangkat tangannya melambai ke arah Qalisha Humaira tanpa memandang gadis itu.

Qalisha Humaira terpaku. Habis aku!

*****

Qalisha Humaira termengah-mengah mengejar Iskandar Zulkarnain. Lelaki itu memperlahankan lariannya. Dia sengaja membiarkan gadis itu mengejarnya. Saat Qalisha Humaira menyaingi lariannya, dia berhenti secara tiba-tiba. Larian Qalisha Humaira turut terhenti.

“Kenapa?” Sepatah pertanyaan Qalisha Humaira. Hairan dia melihat lelaki itu tiba-tiba berhenti. Tadi beria-ia lari, tiba-tiba berhenti pulak!

”Kau tu. Dah penat sangat aku tengok. Semput je. Nampak sangat kan kau ni jarang bersenam.” Slumber lelaki itu membalas.

”Huh, aku la yang penat? Bukan kau ke?” Tanya Qalisha pula membalas.

Iskandar Zulkarnain tersenyum. Cepat mesra betul perempuan ni. Dia memandang wajah Qalisha Humaira yang dibasahi keringat itu. Wajah itu nampak tenang. Mungkin tidak setenang hatinya. Dia sedar disebalik kejernihan mata Qalisha Humaira mengandungi ’sesuatu’ yang begitu berat untuk gadis itu. Sesuatu yang sukar ditafsir dengan kata-kata. Penderitaan yang dalam. Dan dia bertekad untuk memahami gadis itu. Menjadi sebahagian daripada hidup gadis itu, berkongsi segala suka-duka gadis itu.

Qalisha Humaira mengelap mukanya dengan tuala kecil yang memang dibawanya dari tadi. Dia dapat merasakan peluh yang jatuh daripada dahinya mula membasahi seluruh muka. Iskandar Zulkarnain menghulurkan tangan menarik tuala itu dan mengelap mukanya pula. Qalisha Humaira mengetap bibir. Berani betul mamat ni!

”Woit, kotorlah!” Marah Qalisha Humaira.

”Apa? Tuala ni ke muka aku?” Tanya Iskandar Zulkarnain pula.

Qalisha Humaira terdiam. Kini dia pula memandang wajah Iskandar Zulkarnain. Mata yang agak sepet, hidung mancung terletak cantik pada muka yang berkulit cerah dan licin. Wajah lelaki itu yang memang tergolong dalam lelaki kacak memang tidak dapat disangkal oleh Qalisha Humaira. Otaknya berfikir mahu mengenakan lelaki itu.

“Ha, nanti muka kau naik jerawat baru padan muka. Peluh aku ni ada bakteria tau.” Separuh mengugut kedengaran suara Qalisha Humaira.

”Oh ye ke?” Wajah Iskandar Zulkarnain bertukar warna. Lantas dia mengusap-usap muka. Tanpa disedari Qalisha Humaira, mata lelaki itu masih menatap wajahnya. Iskandar Zulkarnain menangkap riak wajah ceria Qalisha Humaira mengenakannya. Cis, nak kenakan aku lah tu… Jaga kau! Hatinya berbisik.

Hahaha… Tau takut. Wah, lelaki ini betul-betul jaga muka! Nak jadi model ke? Dalam hati Qalisha Humaira ketawa mengutuk. Tetapi tidak lama kemudian kedengaran suara Qalisha Humaira menjerit. Iskandar Zulkarnain mengelap tuala kecil itu ke wajah Qalisha Humaira pula.

”Tak aci lah kalau muka aku je naik jerawat.”Ayat itu terpacul keluar bersama dekahan ketawa Iskandar Zulkarnain. Qalisha Humaira mengetap bibir. Iskandar Zulkarnain meneruskan lariannya meninggalkan Qalisha Humaira yang sedang marah. Dia bimbang jika gadis itu menyakiti  hati dan tubuhnya.

*****

Thursday, September 22, 2011

Kisah Cinta Qalisha 4

BAB 4

Suasana pagi di kawasan rumahnya agak nyaman. Angin pagi yang kadang-kadang bertiup perlahan membawa hawa yang sangat sejuk tetapi mendamaikan. Pagi ini, setelah memastikan keadaan clear, dia melangkah keluar dari apartmentnya ke kawasan yang agak tersembunyi di belakang kolam renang yang memang disediakan oleh pihak perumahan untuk kegunaan penduduk apartment itu. Qalisha Humaira membelek gambar-gambar foto ditangannya. Nice shot. Hatinya berbisik. Dia menyukai angle gambar itu tetapi disebabkan subjek gambar itu adalah dirinya yang sedang merokok, dia bertekad untuk membakar gambar-gambar itu.

Sedang menghidupkan api dari lighternya, dia terasa seseorang menghampirinya. Gambar ditangannya sudah terbakar sedikit. Dia cuba untuk bertenang. Pagi-pagi sebegini pelbagai perkara buruk boleh berlaku. Hatinya mula berdebar-debar. Sedikit menyesal dia keluar awal pada pagi itu.

“Qisha, buat apa ni?” Satu suara milik seorang lelaki kedengaran.

Qalisha Humaira mengangkat muka. Wajah Amir Hamzah di lihatnya tersenyum. Hatinya lega apabila pemilik suara itu mengenalnya dan tambahan lagi bukan milik Iskandar Zulkarnanin. Sekurang-kurangnya buat masa sekarang dia cuba untuk menjauhi lelaki itu. Api pada gambar itu segera di padamkan.

“Buat pembakaran terbuka jap.” Spontan jawab Qlisha Humaira berlucu.

“Bakar apa pagi-pagi buta ni?” Tanya Amir Hamzah ingin tahu.

“Adalah kertas nak kena bakar.” Masih menyembunyikan rahsianya, Qalisha Humaira menjawab tenang.

Tanpa disangka Qalisha Humaira, Amir Hamzah menarik gambar ditangannya. Lighter yang terlepas jatuh ke bawah dibiarkan. Dalam keadaan kalut, Qalisha Humaira menunduk mengambil lighter itu manakala Amir Hamzah sudah membelek gambar-gambar itu. Amir Hamzah mengerutkan dahinya. Dia meneliti gambar-gambar photo itu. Dia amat pasti perempuan yang merokok itu ialah Qalisha Humaira. Wajah lembut Qalisha Humaira kembali menjadi santapan matanya.

”Apa ni?” Tanya Amir Hamzah.

”...” Qalisha Humaira kelu untuk berkata-kata. Damn. Aku dah terkantoi dengan President MPP ni pulak!  Otaknya masih ligat memikirkan alasan.

”Kat sini kau rupanya!” Satu suara menyinggah di belakang mereka. Qalisha Humaira dan Amir Hamzah berpaling. Kelihatan Iskandar Zulkarnain berwajah serius.

”Er... Kau cari aku ke?” Solan itu terpacul daripada mulut Amir Hamzah.

“Dasar lupa kawan. Jumpa awek, terus lupa aku...” Suara Iskandar Zulkarnani kedengaran menderam.

”Sorry... Sorry... Aku nampak Qisha ni, tu aku tegur dia. Ingatkan dia nak terjun kolam tu.” Sejurus itu dia memuncungkan mulutnya ke arah kolam renang di belakang mereka. Amir Hamzah mengutuk dirinya. Sudah tentu kolam itu jauh daripada kedudukan mereka sekarang. Adoi... Jawapan logik pun aku tak boleh fikir?

”Oh, ye ke?” Soalan Iskandar Zulkarnain lebih kepada menyindir. Apa la ko ni mat, gelabah je! Sejurus matanya memandang gambar ditangan Amir Hamzah. Gambar itu! Lantas matanya merenung Qalisha Humaira. Wajah gadis itu kelihatan pucat. Ermm... Qisha… Qisha…!

Qalisha Humaira mengetap bibirnya. Adoi! Kenapalah boleh jumpa dia pulak hari ni? Hatinya merungut.

Amir Hamzah masih kaku. Dia tidak pasti tindakan yang sepatutnya diambil sekarang. Mahu berkongsi dengan Iskandar Zulkarnain atau tidak. Terasa inilah peluangnya untuk mendekati gadis itu. Tetapi dia benar-benar buntu, tidak tahu apa yang sepatutnya dilakukan. Tiba-tiba dia jadi blur!

“Gambar ni? Qisha punya kan?” Sekali lagi Iskandar Zulkarnain bertanya. Dia menarik gambar itu. ”Cantik tak angle ni?” Sambungnya lagi tanpa menanti jawapan daripada Amir Hamzah mahupun Qalisha Humaira. Game start! Hatinya menjerit.

“Ha?” Amir Hamzah ternganga. Tidak memahami maksud Iskandar Zulkarnain. Qalisha Humaira membulatkan matanya.

Di dalam hati, Iskandar Zulkarnain ketawa hebat. Dia pasti jantung Qalisha Humaira seperti mahu berhenti saat itu. ”Aku yang ambil gambar ni. Hebat tak? Dah boleh jadi pro aku ni kan?” Iskandar Zulkarnain bersuara lagi.

“Apa ni?” Amir Hamzah masih tertanya-tanya.

“Qisha mintak tolong aku. Sepupu dia kena buat projek sekolah, budaya merokok dikalangan wanita. Kan Qisha?” Iskandar Zulkarnain mengheret Qalisha Humaira untuk bermain ‘permainan’nya itu.

“Ye. Cousin Qisha yang form 5 tu kena buat projek pasal perempuan merokok tu, so Qisha mintak tolong Iskandar ambil gambar.” Lantas Qalisha Humaira mengiakan pembohongan itu. Wajahnya sedaya upaya di sembunyikan dengan senyuman, tanpa sedikit gugup.

Wah, hebat betul perempuan ni! What a poker face?! Hati Iskandar Zulkarnain berbisik. Dia benar-benar kagum dengan kebolehan gadis itu.

Amir Hamzah mengangguk-anggukkan kepalanya. Walaupun sedikit curiga, dia hanya menyimpan perasaan curiganya itu. Kini, rasa cemburu mula menguasai dirinya. Iskandar Zulkarnain dapat mendekati gadis ini dengan mudah. Sedangkan selama ini dia mengambil masa yang agak lama untuk memulakan perbualan dengan gadis itu. Huh! Dia melepaskan geramnya dalam hati.

Selamat aku. Hati Qalisha Humaira sedikit lega. Matanya masih merenung kedua-dua lelaki di hadapannya. “Apa yang korang buat pagi-pagi ni?” Soalan itu terkeluar, sekadar menukar topik.

“Oh, kitorang berjogging. Is la yang beria-ia ajak.” Jawab Amir Hamzah.

“Iskandar memang suka jogging kan? Akhirnya dia jugak yang cepat penat.” Qalisha Humaira sedikit mengadu.

Mata Amir Hamzah membulat. Apa maksud dia? Hatinya tertanya-tanya. Cemburu dalam hatinya tidak dapat dibendung lagi. ”Tahu pulak Qisha?”

”Hari tu aku berjogging dengan dia. Eh, kata orang cepat penat. Yang dia termengah-mengah hari tu, tak nak cerita pulak?” Iskandar Zulkarnain membalas seolah-olah menyimbah minyak ke dalam api cemburu Amir Hamzah.

“Rapatnya korang.” Amir Hamzah bersuara lebih kepada megomel pada dirinya.

Qalisha Humaira dan Iskandar Zulkarnain sekadar memandang wajah Amir Hamzah itu. Kedua-duanya mengukirkan senyum yang berlainan maksud.

Tak adanye aku nak rapat dengan mamat stalker ni! Hati Qalisha Humaira membentak keras.

Hahaha… Jaga kau, Qisha. Tahu lah kau apa aku nak buat nanti! Hati Iskandar Zulkarnain bergembira.

Aik, boleh senyum-senyum pulak dua-dua orang ni?! Hati Amir Hamzah berdetik.

“Kenapa Qisha nak bakar gambar ni?” Soalan perangkap Iskandar Zulkarnain melihat lighter dan sedikit kesan terbakar pada gambar itu.

“Er, cousin Qisha dah ambil gambar yang dia nak. Tinggal yang ni je dia tak nak. Kalau orang lain jumpa gambar ni, mesti diorang sangka yang bukan-bukan pada Qisha.” Masih lancar mulut Qalisha Humaira mencipta alasan. Ish, mamat ni. Jahat betul.

Hahaha... Tau kau pucat! “Oh, tak ada apa pun kalau Qisha bakar gambar tu. Dalam laptop Is ada lagi softcopy gambar tu.” Iskandar Zulkarnain mengingatkan Qalisha Humaira. Tak kira lah kau nak bakar ke nak tanam ke nak apa ke, aku tetap simpan softcopynya. Bukti mana boleh buang kan? Iskandar Zulkarnain tersenyum lembut. Qisha, aku dah palu gendang ni, sila lah menari.

Amir Hamzah masih menjadi pendengar setia. Kenapa diorang ni semacam je aku tengok? Is ni pun macam dah mengugut si Qisha ni.

“Oh ye ke? Ada baiknya Is delete gambar-gambar tu. Penat nanti Qisha nak terangkan pada orang kalau terlepas pada sesiapa nanti. Kesian kat Qisha kan?” Separuh memujuk kedengaran suara Qalisha Humaira itu.

”Okay, nanti Is delete. Qisha jangan bimbang, ye? Selagi gambar tu dengan Is, Is akan pastikan TAK ada sesiapa pun yang tahu.” Perkataan ‘tak’ itu sengaja ditekankan. Iskandar Zulkarnain meneruskan muka seriusnya. “Jom sambung jogging, Amza.” ajaknya pula.

”Okay, Qisha nak join sama tak?” Ajak Amir Hamzah pula.

Qalisha Humaira sekadar menggeleng-gelengkan kepalanya. Manakan mungkin dia berjogging sekarang. Sejenak, tekaknya terasa benar-benar ingin merokok! Dia mengetap bibir. Iskandar Zulkarnain merapati Qalisha Humaira.

”Qisha pergilah balik. Rokok tak baik untuk kesihatan kan?” Iskandar Zulkarnain sedikit berbisik di telinga Qalisha Humaira. Dia tidak mahu Amir Hamzah mendengar kata-katanya itu. Lighter di tangan gadis itu dicapainya dan dimasukkan ke dalam poket seluar. Dah jadi pengumpul lighter, aku ni!

Bencinya!!! Dalam hati Qalisha Humaira menjerit. Dia melangkah pulang dengan hati yang sakit dan marah.

Manakala kedua-dua lelaki itu beredar dan meneruskan larian mereka. Akhirnya mereka singgah di sebuah gerai berdekatan setelah penat berlari.

Amir Hamzah dan Iskandar Zulkarnain menikmati roti canai di hadapan mereka. Iskandar Zulkarnain teringat pada hari dia dan Qalisha Humaira berjogging bersama. Mereka turut singgah di gerai yang sama.

“Apa sebenarnya yang kau nak?” Soalan Qalisha Humaira itu masih terngiang-ngiang di telinganya.

“Aku nak makan. Penat berjogging.” Jawab Iskandar Zulkarnain sambil tersenyum.

“Kau serius boleh tak?” Balas Qalisha Humaira, geram.

“Bang, nak order.” Panggil Iskandar Zulkarnain menutup pertanyaan Qalisha Humaira. Sudahnya sejak pada hari itu dan sehingga kini tiada sebarang soalan lagi daripada Qalisha Humaira mengenai insiden merokoknya itu!

“Apa yang kau bisik kat Qisha tadi?” Soalan Amir Hamzah mematikan lamunan Iskandar Zulkarnain.

”Aku suruh dia balik la. Takkan nak jogging pakai seluar tidur.” Balas Iskandar Zulkarnain malas.

”Kenapa nak bisik-bisik?” Masih tidak berpuas hati, Amir Hamzah bertanya.

”Aik? Cemburu ke? Jangan bro, Yana kau nak letak mana?” Iskandar Zulkarnain mengingatkan Amir Hamzah mengenai hubungannya dengan Aryana Ilhami.

Iskandar Zulkarnain hanya terdiam. Dia tidak tahu apa perasaannya sekarang. Yana! Hatinya menyeru nama gadis itu. Dia mengenali Aryana Ilhami semasa sama-sama menyertai perkhemahan kelab photography. Gadis itu manja dan lembut, benar-benar menawan hatinya ketika itu.

Namun kini dia merasakan terbeban pula dengan sikap keanak-anakan Aryana Ilhami itu. Entah mengapa hatinya kini seperti sudah beralih kepada Qalisha Humaira. Tanpa disedarinya, matanya kini sudah biasa memerhati dan mengikuti gadis itu dari jauh. Dia juga hampir bergaduh dengan Aryana Ilhami kerana selalu bertanyakan tentang hal Qalisha Humaira semenjak dia tahu mereka serumah. Amir Hamzah melepaskan keluhan, berat dan kasar. Qisha! Perlahan nama gadis itu pula diserunya didalam hati.

Memberikan harapan kepada Aryana Ilhami tetapi dalam hatinya nama Qalisha Humaira sudah mula terpahat. Dia sendiri buntu dengan perasaannya. Pelbagai cara yang pernah dia usahakan untuk merapati gadis itu. Terbaru, semasa dalam meeting AJK, dia sengaja memarahi Qalisha Humaira agar dapat melihat reaksi gadis itu. Dia kasihan pada gadis itu tetapi hatinya berbunga riang kerana dapat membuatkan gadis itu berfikir mengenainya walaupun sekejap! Eh ye ke dia teringat-ingatkan aku masa tu? Mesti dia menyampah dengan aku kan? Adoi... Apa yang aku dah buat ni? Tiba-tiba dia terfikirkan hal itu.

Teringat semasa pertemuan pertamanya dengan Qalisha Humaira. Ketika itu dia sedang menikmati makan tengah harinya berseorangan di kafeteria kolejnya, Qalisha Humaira yang lalu di sebelahnya membawa segelas air tiba-tiba tersadung. Air sirap yang di pegang gadis itu tertumpah mengenai kemeja putihnya.

”Sorry, awak. Sorry sangat-sangat.” Saat itu wajah Qalisha Humaira bertukar pucat.

”Em...” Sepatah kata-kata itu keluar. Memandangkan dia bakal bertanding untuk calon President MPP, segaris senyuman di hulurkan. Attitude nak kene jaga, beb! Banyak mata yang memandang. Hati sakit kene cover ni. Amir Hamzah memujuk hatinya.

“Saya betul-betul salah ni. Awak nak saya cuci ke baju awak tu?” Gadis itu masih bermohon maaf, sekaligus menawarkan bantuan.

“Tak pe. Saya ada baju lain. Jangan susah hati okay?” Balasnya sambil mengukir senyuman selembut yang boleh.

Qalisha Humaira hanya menundukkan wajahnya, merasakan dirinya benar-benar bersalah. Saat itu dia langsung tidak memandang wajah Amir Hamzah. Kalaulah Qisha pandang aku masa tu, mesti dia cam muka aku. Hatinya berdetik. Sejak hari itu juga, Amir Hamzah sudah terbiasa mencari wajah Qalisha Humaira di mana-mana. Lebih menggembirakan hatinya, gadis itu turut tercalon sebagai MPP kolej mereka itu. Dia memasang angan-angan yang agak tinggi untuk menjadi seseorang yang istimewa di hati gadis itu walaupun ketika itu dia sudah memiliki Aryana Ilhami!

Lamunan panjangnya tamat apabila Iskandar Zulkarnain mengajaknya pulang.

*****