Monday, May 26, 2014

Dia yang kau pilih


Ariyana mengelipkan matanya berkali-kali. Perlahan dia menggosokkan matanya memastikan pandangannya tak tersalah. Dia memandang kereta Myvi Kuning itu berkali-kali sambil matanya cuba membaca plate number yang tertera. ‘Oh, bukan dia,’ Hatinya menggetus.

Zafril. Sudah genap seminggu dia tidak mendengar khabar lelaki itu. Panggilan telefon langsung tak berjawab. SMSnya juga tiada balasan. Hatinya menggunung rasa rindu. Kemana pula buah hatinya itu? Merajukkah? Tetapi seingatnya tiada sebarang pergaduhan dengan lelaki itu. Tanpa sedar Ariyana melepaskan keluhan perlahan.

Kakinya melangkah laju ke fakultinya. Mengamuk pula Professor Nordin jika dia terlambat nanti.

“Ari…” Kedengaran namanya di panggil.

“Eh, Mai… Jom cepat masuk kelas. Nanti tak pasal-pasal kena marah.” Ujar Ariyana lantas menarik tangan Maisarah menuju ke kelas.

Ketika kuliahnya Ariyana tidak dapat memberi sebarang tumpuan. Dia mengambil sekeping kertas lantas diconteng-contengnya. Maisarah hanya mampu memandang. Dalam hatinya cuba mengerti keresahan Ariyana. Sambil menarik kertas yang di conteng Ariyana itu dia berbisik perlahan, “Fokus.” Mulutnya di muncungkan ke arah Professor Nordin yang sedang asyik membaca slide presentation itu.

Ariyana hanya membalas dengan senyuman tawar.

**********

Zafril memandang handphonenya yang sedang berbunyi. Tak perlu dia membaca nama yang tertera. Lagu All of Me daripada John Legend itu akhirnya berhenti menandakan pemanggilnya sudah berputus asa menelefonnya. Hatinya berkecamuk. Dia tidak mahu bercakap dengan gadis itu buat sementara waktu ini. Sampai bila pun dia sendiri tidak pasti. Cuma dia menunggu masa yang sesuai untuk menerangkan segala-galanya kepada Ariyana.

**********

Ariyana mengeluh panjang. Entah apa rajuk Zafril dia sendiri tidak tahu. Dia tekad. Kali ini dia akan bersemuka dengan Zafril. Daripada rasa rindu bertukar menjadi sedih dan marah. Sepanjang dua minggu ini tiada sebarang cerita daripada lelaki itu didengarinya. Kunci kereta disambar kasar. Sekali dia menjeling ke cermin memastikan pakaian dan wajahnya masih kelihatan kemas. Dia memandu tenang ke rumah Zafril. Perjalanan yang memakan masa tiga puluh minit itu dirasakan tersangat lama.

**********

Ketukan dipintu yang bertalu-talu tanpa suara mengejutkan Zafril. Hatinya mengerutu memarahi si pengetuk pintu yang dilabelkan kurang ajar didalam hatinya sambil menuju ke muka pintu. Lantas pintu dibuka kasar dan wajah Ariyana terpacul.

“Ari..." Nama gadis itu meluncur laju di bibir Zafril.

"Sihat rupanya awak. Lama tak dengar cerita?" Balas Ariyana sinis. Dia memang sengaja mengetuk pintu rumah Zafril tanpa memberi salam. Dalam hatinya kuat mengatakan Zafril memang sengaja mengelak untuk berjumpa dengannya.

"Saya..." Zafril buntu memulakan ayat.

"Tak pe. Saya datang ni cuma nak pastikan awak sihat. Emmm... Nampaknya awak memang sihat. Ada apa-apa yang saya perlu tahu kenapa awak tiba-tiba tak pedulikan saya?" Ariyana terus bertanya.

"Macam ni la. Jom kita keluar minum jap. Saya akan cuba terangkan nanti." Cadang Zafril. Jantungnya berdegup kencang. Dah tibakah masanya untuk dia berterus-terang?

Ariyana hanya berdiam diri. Perlahan dia mengangguk. 'Betul juga, takkan nak bergaduh kat depan pintu rumah dia ni. Apa kata jiran-jiran Zafril nanti.' Hatinya mendesis.

Suasana di restaurant itu sangat santai. Ariyana merenung wajah Zafril dalam-dalam. Dia benar-benar merindui lelaki itu. Zafril hanya membalas pandangan itu. Hatinya terus berkecamuk. Tidak tahu bagaimana menyusun kata.

"Ari, saya minta maaf." Akhirnya kata-kata maaf yang mampu dilafazkan.

"Kenapa?" Ariyana bertanya sepatah.

"Saya kena paksa kahwin." Ujar Zafril memejamkan mata.

Mata Ariyana membulat. Mulutnya hampir ternganga. Perlahan dia menekup mukanya. Otaknya cuba memproses kata-kata Zafril. Kahwin? Biar betul mamat ni..

"Dengan siapa?" Akhirnya Ariyana bertanya.

"Pilihan papa saya. Anak kawan dia. Ari, saya terpaksa." Zafril cuba menerangkan kepada Ariyana.

" Awak terima? Tak boleh tolak ke?" Potong Ariyana.

"Saya..." Zafril kehabisan kata. Mana mungkin dia menolak pilihan keluarganya. Tapi dalam hatinya nama Ariyana juga telah bertakhta.

Akhirnya air mata Ariyana tumpah jua. Dia tidak berjaya menahan sebaknya. Semudah itu hubungan mereka putus di tengah jalan. Benarkah lelaki ini yang pernah berjanji untuk setia selamanya dengannya?

Malam itu Ariyana tidur sambil menangis. Beberapa kali dia terjaga daripada lenanya dan menangis mengenangkan hubungan yang dijaga selama hampir lima tahun ini terputus ditengah jalan. Semudah itukah lelaki itu menamatkan hubungan mereka yang terbina sekian lama?

Dua hari berlalu tanpa sedar. Ariyana semakin dapat menerima keadaan. Dia cuba mengalih perhatiannya kepada keadaan sekeliling. Padanya, apa yang berlaku sudah ditakdirkan. Dia mula menerima hakikat bahawa tiada jodohnya dengan Zafril. Ariyana memandang sekeliling biliknya. 'Macam kapal karam.' Hatinya mendegus. Dia mula bangun dan mengemas biliknya.

Ketika dia mula mengemas katilnya dan menukar cadar, anak patung Doraemon yang biasa terhias di katilnya tiba-tiba tergolek. Ariyana mengangkat anak patung itu dan sekeping nota terselit di poket depan Doraemon ditariknya.

To my another half,
Without you my life is incomplete.
Without you I'm senseless.
I love you, Ariyana.
Please get well soon.
Love,  Zafril

Kenangan 2 tahun lepas bermain diingatannya...

Wajah Ariyana terasa panas. Sejak pagi seleranya putus namun dia gagahkan diri untuk hadir ke kuliah hari itu. Selesai kuliahnya dia berehat seketika di kafe. Zafril disebelah memandang Ariyana yang kelihatan lemah.

"Are you okay?'" Tanya Zafril lembut.

"Okay..." Balas Ariyana lemah.

Perlahan Zafril meletakkan tangannya di dahi Ariyana. Panas.

"Panasnya... Awak demam ni. Jom... Klinik." Ujar Zafril menarik tangan Ariyana.

Ariyana hanya mampu menurut. Dia benar-benar lemah untuk menolak atau menjawab seperti kebiasaan.

Di klinik Ariyana hanya mampu bersandar lemah di bahu Zafril. Air matanya mengalir tanpa sedar. Zafril memujuk lembut Ariyana. Memahami Ariyana yang semakin lemah, dia terus memberi semangat kepada Ariyana. Setelah berjumpa doktor dan diberi ubat, Zafril menghantar Ariyana pulang ke rumah sewanya. Lewat petang itu Zafril muncul membawa burger kegemaran Ariyana dan sebuah anak patung Doraemon.

Dan anak patung Doraemon itu menjadi peneman tidur Ariyana sejak itu. Mengingati kenangan itu, air mata Ariyana kembali bergenang.

**********

Dua bulan kemudian Ariyana menerima SMS dari Zafril.

"Salam Ariyana. Sy nak jmput awk dtg ke majlis perkahwinan hari Ahad nxt week. Sy harap awk sudi datang. Maafkan sy Ariyana. Sy hrp awk akn jmpa org yg lebih baik dr sy.-Zafril."

Ariyana membalas pendek SMS itu;

"OK. Bg alamat." 

Perlahan mutiara jernih itu mengalir juga walaupun dia cuba untuk menjadi lebih tabah. Dia menyapu airmatanya. Hidupnya perlu diteruskan walaupun semangatnya sudah hampir hilang. Sekarang dia sibuk menghadiri temuduga kerja setelah tamat belajar sebulan lepas. Baginya cerita antara dia dan Zafril sudah tamat. Sekadar sebuah memori untuk dikenang.

**********

Ariyana memastikan baju kurung yang dipakainya kelihatan kemas. Rambutnya yang diparas bahu dibiarkan lepas. Matanya menjeling cermin. ‘Cantik.’ Hatinya memuji diri sendiri. Perlahan senyuman pahit terukir dibibirnya. ‘Cantik-cantik pun ditinggalkan Zafril…’ Hatinya bermonolog.

Mata Ariyana terpaku melihat pengantin perempuan itu.

“Mai?” Nama itu terluah. Maisarah sahabat baiknya di kampus. Yang bersama-sama menyiapkan assignment, yang bersama-sama dikongsikan cerita suka dan duka dan Maisarah yang memujuknya supaya bersabar itu. Benarkah matanya ini?

Maisarah menghampiri Ariyana.

“Maafkan aku, Ari.” Pinta Maisarah. “Aku pun tak sangka yang aku dipaksa kahwin dengan Zafril. Aku pun baru tahu…” Sambungnya lagi.

“Bila kau tahu?” Tanya Ariyana.

“Seminggu lepas kau cerita Zafril tinggalkan kau. Aku tak tahu macam mana nak cerita pada kau. Semua ni berlaku terlalu pantas.” Terang Maisarah sambil menarik tangan Ariyana.

Ariyana memejamkan matanya. Cuba menerima ujian itu dengan tabah. Perlahan dia menarik tangannya dari genggaman Maisarah. Dia terus berlalu meninggalkan majlis itu. Hatinya pedih. Dia bukan sahaja kehilangan Zafril tetapi dia juga turut kehilangan Maisarah.

Ariyana berazam itu kali terakhir untuk dia melihat mereka.



Fin.


Nota kaki;

Cerita ini saya tulis berdasarkan cerita betul. Cuma sesedap rasa saya mengubah ending cerita ini. Setakat ini saya tak tahu apa yang terjadi pada Ari, Zafril dan Mai (yang bukan nama sebenar). Jangan marah sebab saya tamatkan cerita macam tu je sebab memang cerita ini tergantung. Idea nak menulis tu ada tetapi masa sangat terhad. Cerita yang sebelum ini pun tak habis-habis. Hahaha.. 

**Enjoy ok. Lain kali kalau ada masa saya update cerita lain.