Monday, May 26, 2014

Dia yang kau pilih


Ariyana mengelipkan matanya berkali-kali. Perlahan dia menggosokkan matanya memastikan pandangannya tak tersalah. Dia memandang kereta Myvi Kuning itu berkali-kali sambil matanya cuba membaca plate number yang tertera. ‘Oh, bukan dia,’ Hatinya menggetus.

Zafril. Sudah genap seminggu dia tidak mendengar khabar lelaki itu. Panggilan telefon langsung tak berjawab. SMSnya juga tiada balasan. Hatinya menggunung rasa rindu. Kemana pula buah hatinya itu? Merajukkah? Tetapi seingatnya tiada sebarang pergaduhan dengan lelaki itu. Tanpa sedar Ariyana melepaskan keluhan perlahan.

Kakinya melangkah laju ke fakultinya. Mengamuk pula Professor Nordin jika dia terlambat nanti.

“Ari…” Kedengaran namanya di panggil.

“Eh, Mai… Jom cepat masuk kelas. Nanti tak pasal-pasal kena marah.” Ujar Ariyana lantas menarik tangan Maisarah menuju ke kelas.

Ketika kuliahnya Ariyana tidak dapat memberi sebarang tumpuan. Dia mengambil sekeping kertas lantas diconteng-contengnya. Maisarah hanya mampu memandang. Dalam hatinya cuba mengerti keresahan Ariyana. Sambil menarik kertas yang di conteng Ariyana itu dia berbisik perlahan, “Fokus.” Mulutnya di muncungkan ke arah Professor Nordin yang sedang asyik membaca slide presentation itu.

Ariyana hanya membalas dengan senyuman tawar.

**********

Zafril memandang handphonenya yang sedang berbunyi. Tak perlu dia membaca nama yang tertera. Lagu All of Me daripada John Legend itu akhirnya berhenti menandakan pemanggilnya sudah berputus asa menelefonnya. Hatinya berkecamuk. Dia tidak mahu bercakap dengan gadis itu buat sementara waktu ini. Sampai bila pun dia sendiri tidak pasti. Cuma dia menunggu masa yang sesuai untuk menerangkan segala-galanya kepada Ariyana.

**********

Ariyana mengeluh panjang. Entah apa rajuk Zafril dia sendiri tidak tahu. Dia tekad. Kali ini dia akan bersemuka dengan Zafril. Daripada rasa rindu bertukar menjadi sedih dan marah. Sepanjang dua minggu ini tiada sebarang cerita daripada lelaki itu didengarinya. Kunci kereta disambar kasar. Sekali dia menjeling ke cermin memastikan pakaian dan wajahnya masih kelihatan kemas. Dia memandu tenang ke rumah Zafril. Perjalanan yang memakan masa tiga puluh minit itu dirasakan tersangat lama.

**********

Ketukan dipintu yang bertalu-talu tanpa suara mengejutkan Zafril. Hatinya mengerutu memarahi si pengetuk pintu yang dilabelkan kurang ajar didalam hatinya sambil menuju ke muka pintu. Lantas pintu dibuka kasar dan wajah Ariyana terpacul.

“Ari..." Nama gadis itu meluncur laju di bibir Zafril.

"Sihat rupanya awak. Lama tak dengar cerita?" Balas Ariyana sinis. Dia memang sengaja mengetuk pintu rumah Zafril tanpa memberi salam. Dalam hatinya kuat mengatakan Zafril memang sengaja mengelak untuk berjumpa dengannya.

"Saya..." Zafril buntu memulakan ayat.

"Tak pe. Saya datang ni cuma nak pastikan awak sihat. Emmm... Nampaknya awak memang sihat. Ada apa-apa yang saya perlu tahu kenapa awak tiba-tiba tak pedulikan saya?" Ariyana terus bertanya.

"Macam ni la. Jom kita keluar minum jap. Saya akan cuba terangkan nanti." Cadang Zafril. Jantungnya berdegup kencang. Dah tibakah masanya untuk dia berterus-terang?

Ariyana hanya berdiam diri. Perlahan dia mengangguk. 'Betul juga, takkan nak bergaduh kat depan pintu rumah dia ni. Apa kata jiran-jiran Zafril nanti.' Hatinya mendesis.

Suasana di restaurant itu sangat santai. Ariyana merenung wajah Zafril dalam-dalam. Dia benar-benar merindui lelaki itu. Zafril hanya membalas pandangan itu. Hatinya terus berkecamuk. Tidak tahu bagaimana menyusun kata.

"Ari, saya minta maaf." Akhirnya kata-kata maaf yang mampu dilafazkan.

"Kenapa?" Ariyana bertanya sepatah.

"Saya kena paksa kahwin." Ujar Zafril memejamkan mata.

Mata Ariyana membulat. Mulutnya hampir ternganga. Perlahan dia menekup mukanya. Otaknya cuba memproses kata-kata Zafril. Kahwin? Biar betul mamat ni..

"Dengan siapa?" Akhirnya Ariyana bertanya.

"Pilihan papa saya. Anak kawan dia. Ari, saya terpaksa." Zafril cuba menerangkan kepada Ariyana.

" Awak terima? Tak boleh tolak ke?" Potong Ariyana.

"Saya..." Zafril kehabisan kata. Mana mungkin dia menolak pilihan keluarganya. Tapi dalam hatinya nama Ariyana juga telah bertakhta.

Akhirnya air mata Ariyana tumpah jua. Dia tidak berjaya menahan sebaknya. Semudah itu hubungan mereka putus di tengah jalan. Benarkah lelaki ini yang pernah berjanji untuk setia selamanya dengannya?

Malam itu Ariyana tidur sambil menangis. Beberapa kali dia terjaga daripada lenanya dan menangis mengenangkan hubungan yang dijaga selama hampir lima tahun ini terputus ditengah jalan. Semudah itukah lelaki itu menamatkan hubungan mereka yang terbina sekian lama?

Dua hari berlalu tanpa sedar. Ariyana semakin dapat menerima keadaan. Dia cuba mengalih perhatiannya kepada keadaan sekeliling. Padanya, apa yang berlaku sudah ditakdirkan. Dia mula menerima hakikat bahawa tiada jodohnya dengan Zafril. Ariyana memandang sekeliling biliknya. 'Macam kapal karam.' Hatinya mendegus. Dia mula bangun dan mengemas biliknya.

Ketika dia mula mengemas katilnya dan menukar cadar, anak patung Doraemon yang biasa terhias di katilnya tiba-tiba tergolek. Ariyana mengangkat anak patung itu dan sekeping nota terselit di poket depan Doraemon ditariknya.

To my another half,
Without you my life is incomplete.
Without you I'm senseless.
I love you, Ariyana.
Please get well soon.
Love,  Zafril

Kenangan 2 tahun lepas bermain diingatannya...

Wajah Ariyana terasa panas. Sejak pagi seleranya putus namun dia gagahkan diri untuk hadir ke kuliah hari itu. Selesai kuliahnya dia berehat seketika di kafe. Zafril disebelah memandang Ariyana yang kelihatan lemah.

"Are you okay?'" Tanya Zafril lembut.

"Okay..." Balas Ariyana lemah.

Perlahan Zafril meletakkan tangannya di dahi Ariyana. Panas.

"Panasnya... Awak demam ni. Jom... Klinik." Ujar Zafril menarik tangan Ariyana.

Ariyana hanya mampu menurut. Dia benar-benar lemah untuk menolak atau menjawab seperti kebiasaan.

Di klinik Ariyana hanya mampu bersandar lemah di bahu Zafril. Air matanya mengalir tanpa sedar. Zafril memujuk lembut Ariyana. Memahami Ariyana yang semakin lemah, dia terus memberi semangat kepada Ariyana. Setelah berjumpa doktor dan diberi ubat, Zafril menghantar Ariyana pulang ke rumah sewanya. Lewat petang itu Zafril muncul membawa burger kegemaran Ariyana dan sebuah anak patung Doraemon.

Dan anak patung Doraemon itu menjadi peneman tidur Ariyana sejak itu. Mengingati kenangan itu, air mata Ariyana kembali bergenang.

**********

Dua bulan kemudian Ariyana menerima SMS dari Zafril.

"Salam Ariyana. Sy nak jmput awk dtg ke majlis perkahwinan hari Ahad nxt week. Sy harap awk sudi datang. Maafkan sy Ariyana. Sy hrp awk akn jmpa org yg lebih baik dr sy.-Zafril."

Ariyana membalas pendek SMS itu;

"OK. Bg alamat." 

Perlahan mutiara jernih itu mengalir juga walaupun dia cuba untuk menjadi lebih tabah. Dia menyapu airmatanya. Hidupnya perlu diteruskan walaupun semangatnya sudah hampir hilang. Sekarang dia sibuk menghadiri temuduga kerja setelah tamat belajar sebulan lepas. Baginya cerita antara dia dan Zafril sudah tamat. Sekadar sebuah memori untuk dikenang.

**********

Ariyana memastikan baju kurung yang dipakainya kelihatan kemas. Rambutnya yang diparas bahu dibiarkan lepas. Matanya menjeling cermin. ‘Cantik.’ Hatinya memuji diri sendiri. Perlahan senyuman pahit terukir dibibirnya. ‘Cantik-cantik pun ditinggalkan Zafril…’ Hatinya bermonolog.

Mata Ariyana terpaku melihat pengantin perempuan itu.

“Mai?” Nama itu terluah. Maisarah sahabat baiknya di kampus. Yang bersama-sama menyiapkan assignment, yang bersama-sama dikongsikan cerita suka dan duka dan Maisarah yang memujuknya supaya bersabar itu. Benarkah matanya ini?

Maisarah menghampiri Ariyana.

“Maafkan aku, Ari.” Pinta Maisarah. “Aku pun tak sangka yang aku dipaksa kahwin dengan Zafril. Aku pun baru tahu…” Sambungnya lagi.

“Bila kau tahu?” Tanya Ariyana.

“Seminggu lepas kau cerita Zafril tinggalkan kau. Aku tak tahu macam mana nak cerita pada kau. Semua ni berlaku terlalu pantas.” Terang Maisarah sambil menarik tangan Ariyana.

Ariyana memejamkan matanya. Cuba menerima ujian itu dengan tabah. Perlahan dia menarik tangannya dari genggaman Maisarah. Dia terus berlalu meninggalkan majlis itu. Hatinya pedih. Dia bukan sahaja kehilangan Zafril tetapi dia juga turut kehilangan Maisarah.

Ariyana berazam itu kali terakhir untuk dia melihat mereka.



Fin.


Nota kaki;

Cerita ini saya tulis berdasarkan cerita betul. Cuma sesedap rasa saya mengubah ending cerita ini. Setakat ini saya tak tahu apa yang terjadi pada Ari, Zafril dan Mai (yang bukan nama sebenar). Jangan marah sebab saya tamatkan cerita macam tu je sebab memang cerita ini tergantung. Idea nak menulis tu ada tetapi masa sangat terhad. Cerita yang sebelum ini pun tak habis-habis. Hahaha.. 

**Enjoy ok. Lain kali kalau ada masa saya update cerita lain.


Sunday, September 25, 2011

Kisah Cinta Qalisha 1

BAB 1

Meeting bersama AJK MPP tamat agak lewat petang itu. Qalisha Humaira terus berlalu dengan pantas. Terasa wajahnya bagai disimbah dengan air ketika meeting kali ini dijalankan. Teruk dia dimarahi dan ditengking Amir Hamzah, president MPP yang kononnya dihormati oleh semua pelajar di kolej itu. Semuanya gara-gara dia terlewat menghantar laporan untuk bironya. Laporan itu disiapkan sehari lewat dari tarikh yang dikehendaki dek kerana kekangan masa untuk menyiapkan assignmentnya yang bertimbun.

Sangkanya dia akan diberi teguran secara baik, tambahan pula ini adalah kesalahan pertamanya sejak 5 bulan menyandang jawatan sebagai AJK MPP. Namun, saat dia memohon maaf secara terbuka dihadapan semua ahli jawatan kuasa, dia diserang dengan ayat-ayat power yang menyakitkan hati daripada mulut berbisa Amir Hamzah.

“Kalau awak rasa tak mampu nak buat, baik awak letak jawatan sahaja.” Ujar lelaki itu dengan nada yang agak tinggi.

Qalisha Humaira mengetap bibirnya. Hatinya terasa panas. Dia ingin membalas tetapi akalnya menimbang. Apa gunanya melawan api dengan api? Akhirnya dia hanya mendiamkan diri.

“Saya tak nak ada diantara kalangan kita buat perangai macam ni. Ini adalah amanah. Laksanakan amanah yang diberi dengan bertanggung jawab. Ingat, kita dipilih untuk jadi wakil pelajar bukan sekadar suka-suka. Bukan setakat nak tayang muka, tersengih-sengih. Kita kena berbakti pada kolej dan pelajar. Kita adalah kepercayaan pelajar.” Makin panjang pula Amir Hamzah berleter.

Qalisha Humaira terdiam. Apa dia ingat aku sengaja ke nak tersengih-sengih jadi MPP ni? Aku taulah kerja aku. Lewat sehari pun nak kecoh. Macam siot je mamat ni!
Namun kata-kata itu tersekat di kerongkongnya. Menjawab bermakna dia akan menyemarakkan api yang sedang membakar.

”Kalau gagal nak pegang amanah, samalah maknanya gagal menjadi pemimpin!” Tegas Amir Hamzah. Seolah-olah cuba membuatkan Qalisha Humaira menjawab.

”Maafkan saya.” Sekali lagi Qalisha Humaira memohon maaf.

”Kalau maaf tu senang-senang boleh dimintak, apa guna polis kat dunia ni? Semua boleh settle dengan mintak maaf!” Sekali lagi Amir Hamzah membakar.

Ek eleh mamat ni. Poyo betul la. Orang dah mintak maaf tu, maafkan je lah! Aku dah hantar pun report tu. Yang nak cerita pasal polis ni apa ke halnye?! Hati Qalisha membentak lagi. Wajah Qalisha Humaira bertukar merah menahan malu dan marah. Semua ahli AJK lain memerhatikan wajah Qalisha Humaira itu. Ada yang bersimpati, ada juga yang menyokong kata-kata Amir Hamzah. Ye lah, tak terkena batang hidung sendiri, buat apa nak terasa?

Qalisha Humaira terus bergerak pulang ke apartment tempat tinggal yang disewanya dengan perasaan yang berbuku. Malu, marah dan sedih menjadi satu. Dia terasa seperti mahu meletak jawatannya saat itu!

*****

Asap rokok dihembusnya perlahan. Qalisha Humaira memerhatikan asap rokok itu dengan pandangan kosong. Seolah-olah mencari ketenangan diri dengan memerhatikan asap rokok itu dalam kegelapan malam. Dia menyedari betapa bahayanya merokok tetapi habit itu tidak dapat dipisahkan. Dia mula berjinak-jinak dengan rokok sebelum bergelar mahasiswa lagi. Sejak di tingkatan 5. Yang pasti tiada siapa yang tahu dan tiada siapa yang pernah mengajarnya menghisap rokok. Dia sendiri yang mahu mencuba!

Ketika itu, mama dan papanya diambang penceraian. Dia tiada tempat mengadu, lantas disalurkan kemarahan dan kesedihannya dengan menghisap rokok. Bermula dengan cuba-cuba akhirnya menjadi kebiasaan. Kebiasaan saat dia marah atau bersedih. Dengan cara itu dia dapat melupakan seketika masalahnya. Dia di dalam dunianya sendiri dengan merokok!

Dia mula memikirkan untuk mencuba setelah melihat seseorang merokok. Seseorang yang pernah mengusik hati gadisnya. Seseorang yang kini cuba dilupakan. Tiba-tiba dia terkenang seseorang itu.

Cikgu Saiful Nizam! Nama itu diseru perlahan. Cikgu lelaki yang mempunyai wajah yang keanak-anakan. Baby faced kata omputeh! Perwatakan seorang cikgu yang memahami dan disenangi oleh semua pelajar sekolahnya ketika itu.  Cikgu itu yang mengajar dia bersabar. Cikgu itu menjadikan dia tabah. Cikgu itu menjadikan dia redha dengan segalanya. Dan cikgu itu juga menjadikan dia seorang perindu yang sabar. Dia menyayangi cikgu itu sehinggakan dia tidak tahu apakah sebenar perasaannya. Sayang sebagai pelajar kepada guru atau sayang sebagai seorang perempuan kepada lelaki.

”Awak memang pelajar yang terbaik yang pernah saya ada.” Ayat itu masih terngiang-ngiang ditelinganya.

Qalisha Humaira hanya mampu tersenyum ketika itu. Saya sayang cikgu! Kata-kata yang hanya mampu terlafaz dalam hatinya. Masakan dia akan melupakan kenangan bersama cikgu itu. Bermula dengan ekspedisi memanjat Gunung Tahan, dia mula rapat dengan cikgu Saiful Nizam. Mustahil untuk dia lupakan kesanggupan guru itu menjaganya ketika kakinya terseliuh ketika mendaki gunung itu. Cikgu itu memberikannya semangat untuk selamat sampai ke puncak dan turun kembali ke bawah.

Pertemuan demi pertemuan dengan guru itu menjadikan mereka akrab. Keakraban mereka sehinggakan ada yang salah mentafsir hubungan mereka berdua. Ketika itu Cikgu Saiful Nizam berumur 24 tahun dan dia sendiri berumur 17 tahun. Dia tidak pedulikan semua itu kerana dia sendiri tidak pasti tentang hubungan mereka.

Cikgu Saiful Nizam tidak pernah meyatakan sebarang perasaan kepadanya, jauh sekali memberikan sebarang harapan kepadanya. Namun begitu layanan baik Cikgu Saiful Nizam kepadanya menjadikan dia sendiri keliru dengan perasaan sebenar gurunya itu. Dia tidak pernah bertanya selagi Cikgu Saiful Nizam tidak bersuara. Itulah tekadnya ketika itu.

Lantas dia teringat peristiwa yang mendebarkan hatinya ketika bersama cikgu itu. Ketika itu dia sedang menikmati keenakan burger di sebuah restaurant fast food yang terkenal bersama cikgu Saiful Nizam. Usai makan, mereka masih bersembang-sembang. Bergelak ketawa untuk menghilangkan stress belajar. Tiba-tiba cikgu Saiful Nizam mengelap tepi mulutnya.

“Ish, comot betul awak ni!” Katanya sambil terus mengelap tepi mulut Qalisha Humaira dengan sehelai tisu.

Dia sekadar tersenyum. Sedangkan hatinya dijentik perasaan berdebar-debar ketika itu.

“You are so cute.” Tiba-tiba dia terdengar pujian gurunya itu.

Dap! Jantungnya berdetak. Apa maksud cikgu ni? Hatinya tertanya-tanya.

Di dalam kereta, ketika mengahantar Qalisha Humaira pulang, suara cikgu Saiful Nizam memecahkan sepi. “Mind if I smoke? I just can’t help not to after a meal.”

Qalisha Humaira tersentak. “Help yourself.” Ujarnya perlahan. Dia benar-benar tidak kisah. “So you are a smoker?” Tanyanya pula.

“Em, yes. Tapi rokok tak baik untuk kesihatan tau.” Balas cikgu Saiful Nizam sambil mengenyitkan matanya.

Qalisha Humaira hanya tersenyum. Dah tau tak baik, hisap jugak. Hatinya mendesis.

Dan kini dia sendiri sedang menghembuskan asap rokok!

Qalisha Humaira bersandar pada dinding belakang banggunan apartment itu. Satu keluhan berat dilepaskannya. Kenangan manis itu sebenarnya terlalu pahit untuk ditelan. Dia menjeling jam tangannya, tepat 8.15 malam. Saat itu dia melepaskan asap rokok yang terakhir sebelum memijak-mijak puntung rokok itu. Tanpa disedarinya ada sepasang mata memerhati perbuatannya itu. Sekadar memandang tanpa mempunyai apa-apa perasaan.

Qalisha Humaira pula sudah menanggalkan jaketnya. Lantas dia menyumbatkan jaket dan kotak rokok ke dalam beg sandangnya. Dia mengelap untuk membuang sapuan lip balm pada bibirnya yang dipakai sebelum merokok. Penyembur pewangi mulut pula disembur ke mulutnya sebelum mengunyah gula-gula getah. Dia turut menyembur spray perfume ke bajunya. Dia melakukan perkara itu sejak berjinak-jinak menghisap rokok. Kerana itu dia tidak pernah terkantoi!

Dia bijak menutup keburukannya itu walaupun cara itu agak menyusahkannya. Semuanya dilakukan dengan kesanggupan demi kepuasan dirinya sendiri. Perlahan dia meninggalkan port kegemarannya sejak berpindah ke apartment itu dengan hati yang sedikit terubat menuju ke tempat pertemuan kawan-kawannya, tidak jauh dari situ. Ada perbincangan mengenai assignment dengan ahli groupnya malam ini.

“Hi, you all! Sorry lambat, jammed tadi.” Ujarnya memberi alasan tidak logik.

“Huh, banyak la kau punya jammed! Jalan kaki sekangkang kera, jammed celah mana?” Suraya Ilhami bertanya, lebih kepada bergurau.

”Hahaha...” Soalan itu disambut dengan ketawa ceria ahli group yang lain. Qalisha Humaira tersenyum, senang hati.

*****

Iskandar Zulkarnain membaringkan tubuhnya ke sofa. Dia memandang seluruh bilik tidurnya itu. Kemas dan teratur. Di suatu sudut tersusun koleksi figura hero-hero kegemarannya. Dia memejamkan mata. Cuba merehatkan fikirannya. Penatnya! Hatinya menggumam.

“Qalisha Humaira.” Nama itu meniti dibibirnya. Wajah gadis itu kelihatan lemah lembut dan sangat bersopan. Rambut lurus paras bahu menambahkan kecantikannya. Ketika berbicara, kedengaran ayat-ayat yang disusun sangat teratur. Walaupun marah, Qalisha Humaira tetap menjaga tutur katanya. Kenapa gadis golongan baik-baik seperti itu menghisap rokok?

Dia teringatkan pertama kali dia melihat Qalisha Humaira. Gadis itu kelihatan terburu-buru menuju ke belakang banggunan apartment. Ketika itu Iskandar Zulkarnain ingin pulang ke rumahnya. Sudah 2 hari dia ‘berkampung’ di rumah kawannya menyiapkan final project untuk subject C++. Dia pernah melihat Qalisha Humaira sebelum ini, malah dia pernah mengundi Qalisha Humaira sebagai salah seorang wakil MPP. Hatinya digaru rasa ingin tahu, dia mengekori langkah gadis itu.

Terkejut dia melihat Qalisha Humaira sedang asyik menyedut asap rokok. Wajah Qalisha Humaira kelihatan tegang ketika itu seolah-olah menghadapi masalah yang berat. Sejak hari itu dia kerap bertembung dengan gadis itu. Dia juga sudah terbiasa memerhatikan Qalisha dengan ekor matanya sepanjang mereka di kolej.

“Is!” Kedengaran namanya di seru.

Perlahan dia membuka matanya. Kelihatan kakaknya sedang tersenyum mesra. Kakak sulungnya yang berusia 26 tahun itu baru sahaja pulang dari tempat kerja. Kot yang dipakainya ditanggalkan. Dia menepuk peha adiknya menyuruh bangun. Iskandar Zulkarnanin terus bangun dari pembaringan dan membetulkan duduknya. Dia membiarkan kakak kesayangannya itu duduk di sebelahnya.

“Penat ke?” Tanya Nur Syalisa kepada adiknya itu.

“Emm…” Suara Iskandar Zulkarnain kedengaran seperti malas bersuara.

“Kenapa ni? Tengok akak, walaupun penat balik kerja pun okay jer…” Nur Syalisa bersuara.

“Tak ada apa. Biasa lah, banyak assignment. Kuiz dangan test pun dah beratur. Penat otak, penat badan, semua penatlah…” Iskandar Zulkarnain mengadu.

“Oh… Ingatkan ada masalah negara tadi. Kalau hal belajar, memang la penat. Tak pe lah, nanti time cuti semester nanti, rehat lah puas-puas.” Pujuk Nur Syalisa pula.

“Ye lah…” Balas Iskandar Zulkarnain malas. “Akak baru balik kerja ni terus masuk bilik Is ada apa-apa ke?” Tanyanya lagi. Sebenarnya dia memang tahu kakaknya itu suka ‘melepak’ di biliknya. Hubungan dua beradik ini memang agak rapat sejak kecil. Terlalu banyak suka dan duka yang dikongsi mereka.

“Saja. Dah lama tak jumpa Is. Jom teman akak rehat kat bawah.” Ajak Nur Syalisa pula.

“Laa… Kat bilik Is je tak boleh ke?” Iskandar Zulkarnain membuat tawaran.

“Kalau setakat nak rehat kat bilik, akak pun boleh rehat kat bilik akak. Jom lah.” Ajak Nur Syalisa lagi sambil menarik tangan adiknya.

“Okay… Okay…” Balas Iskandar Zulkarnain. Dia membuntuti kakaknya turun ke bawah. Tahu sangat dia maksud ‘rehat kat bawah’ kakaknya itu bermakna beristirehat di dalam taman kecil hadapan rumah mereka. Seperti biasa mereka menghabiskan masa berjam-jam di taman kecil itu dengan berbual dan berkongsi cerita.

“Paksu ada e-mail Is tak?” Kakaknya tiba-tiba bertanya.

“Tak ada pula. Kenapa kak?” Tanya Iskandar Zulkarnain pula.

“Saje. Dah lama la pulak tak dengar cerita dia kan?” Ujar Nur Syalisa lebih kepada dirinya.

“Busy la tu. Dia kerja kat Jepun kak. Tahu-tahu lah macam mana.” Balas Iskandar Zulkarnain.

“Akak rasa nak cari kerja kat sana lah. Okay tak?” Tiba-tiba kakaknya meminta pedapat.

“Jangan nak mengada. Kat Malaysia ni banyak lagi tempat akak boleh kerja. Tu syarikat papa tu macam mana? Nak suruh Is take over ke?” Balas Iskandar Zulkarnain mengingatkan.

“Okay juga tu. Akak rasa malas dah nak kerja kat syarikat papa. Tension memanjang.” Nur Syalisa mengadu.

“Alaa… Ambil lah cuti. Ni sampai nak tukar kerja sampai ke Jepun. Macam lah tension sangat.” Iskandar Zulkarnain separuh memujuk.

“Kalau kat Jepun nanti, boleh lah akak cari calon suami orang Jepun. Senang sikit…” Nur Syalisa mula mengarut.

Iskandar Zulakrnain mengerutkan kening. “Apa yang senangnya?” Tanyanya.

“Nanti kalau mama bising-bising dia bukan faham Bahasa Melayu. Tak adalah dia nak kecil hati ke apa ke.” Nur Syalisa bersuara menahan gelak.

“Betul jugak tu…” Iskandar Zulkarnain mula bersetuju. Dia tahu sungguh dengan sikap suka berleter mamanya itu. Ada sahaja yang tak kena antara mereka dua beradik. Ada sahaja yang nak di tegurnya. Iskandar Zulkarnain terkenang mamanya.

Puan Sharifah Huda yang berusia pertengahan 50 an. Masih kelihatan cergas dan aktif dengan aktiviti-aktiviti berpesatuan. Kadang-kadang mama mereka itu turut menjenguk ke syarikat milik keluarga mereka. Malah Puan Sharifah Huda merupakan salah seorang pemegang saham syarikat terbesar selain papa mereka. Jarang bersua dengan mamanya itu, menjadikan Iskandar Zulkarnain kadang-kadang terlupa dengan mamanya. Kadang- kadang sampai seminggu dia tidak melihat mamanya itu.

“So akak betul-betul nak pergi Jepun ke?” Iskandar Zulkarnain bertanya.

“Tengok lah nanti. Paksu pun ada kat sana. Senang lah kot kalau akak betul-betul nak kerja kat sana.” Nur Syalisa membalas malas.

“…” Iskandar Zulkarnain kelu. Kalau akak pergi, siapa nak jaga Is? Hatinya bersuara walaupun mulutnya terkunci rapat.

“Jom lah naik. Dah dekat 12 malam ni.” Nur Syalisa mengajak.

*****

Saturday, September 24, 2011

Kisah Cinta Qalisha 2

BAB 2

Deringan handphonenya menarik minat Qalisha Humaira. Nada deringan khas untuk mamanya itu dinyayikan perlahan sebelum menjawab panggilan itu.

”Hi mama!” Terus menyapa mamanya.

”Assalamualaikum, sayang!” Mamanya memberi salam.

Oppss! ”Waalaikumussalam warahmatullah hiwabarakatuh mama!” Jawabnya dengan panjang.

Kedengaran tawa halus mamanya.

”Sayang, minggu ni balik rumah mama boleh? Mama ada hal nak tanya Qisha.” Lembut suara mamanya mengharap.

“Okay.” Lantas perbualan itu bersambung dengan soalan rutin sebelum lagi sekali mamanya memberi salam untuk menamatkan perbualan.

Hujung minggu, Qalisha Humaira memandu pulang ke rumah mamanya. Ketika dia sampai di rumah itu, kelihatan mamanya sedang berehat-rehat di taman mini di hadapan rumah. Taman kecil itu memang dijaga baik oleh mamanya. Di taman itu juga tempat mereka sekeluarga pernah berehat bersama-sama. Papa, Mama, Along dan dirinya. Along! Hatinya mendesis. Tiba-tiba dia teringatkan abangnya itu.

Dia melangkah merapati mamanya. Menghulurkan tangan menyalami dan menciumi pipi mamanya sebelum melabuhkan diri di atas kerusi yang memang tersedia.

“Apa khabar mama?” Tanyanya perlahan.

“Sihat. Qisha?” Mamanya pula bertanya.

“Okay… Ada apa mama suruh Qisha balik ni?” Tanya Qalisha tidak sabar.

Mamanya hanya tersenyum. Wanita berusia lewat 40-an itu kelihatan masih menarik. Mamanya memang cantik. Sentiasa berwajah ceria dan menyenangkan mata yang memandang. Puan Hanissa menelan air liurnya. Dia memerlukan kekuatan untuk membicangkan hal itu dengan anaknya itu. Dia menyedari satu-satunya anak perempuannya itu pernah terluka dengan perpecahan keluarga mereka. Tetapi seingatnya anaknya itu hanya pernah menangis dihadapannya sekali.

“Betul ke ni mama?” Soalan itu yang ditanya kepadanya saat dia memberitahu perpisahannya dengan Encik Qarimi, papa Qalisha Humaira. Kelihatan mutiara jernih mengalir membasahi pipi anaknya. Namun air mata Qalisha Humaira tidak langsung menggugat keputusannya itu.

“Maafkan mama, sayang. Ini ajalah jalan terbaik untuk kami berdua.” Dia menerangkan kepada Qalisha Humaira. Dia sedar anaknya itu baru berumur 17 tahun ketika itu. Terlalu mentah untuk menerima perpisahan itu.

Itulah kali terakhir dia melihat air mata Qalisha Humaira. Mungkin anaknya itu dapat menerima perpisahan itu dengan baik, sangkanya. Qisha memang seorang anak yang tabah. Hatinya memuji Qalisha Humaira tanpa mengetahui bahawa anaknya itu sebenar-benarnya sangat terluka dengan perpisahan itu.

“Mama nak kahwin…” Ayat itu terlepas daripada mulutnya. Dia memandang wajah Qalisha Humaira di hadapannya. Dia bertekad sekiraya Qalisha Humaira membantah, dia tidak akan meneruskan niatnya itu.

“Oh…” Sepatah perkataan itu terkeluar daripada bibir Qalisha Humaira.

Sesungguhnya hati Qalisha Humaira terluka. Dia benar-benar kecewa dengan keputusan mamanya mahu berkahwin lain. Sedangkan dia sedang berkira-kira mahu menyatukan mama dan papanya kembali.

Uncle Zahidi memang baik. Dia pernah berjumpa dengan lelaki itu sebelum ini. Seorang duda yang mempunyai dua anak perempuan. Namun begitu Qalisha Humaira tidak pernah pula bertemu dengan anak-anak lelaki itu. Menurut mamanya, mereka akan mengadakan pertemuan nanti bersama keluarga Uncle Zahidi. Dia mengukirkan senyuman saat mamanya bertanyakan persetujuannya.

”Kalau mama rasa bahagia, Qisha tak kisah.” Ayat itu terluah dibibirnya. Hatinya menangis saat itu. Dia kecewa, benar-benar kecewa.

Petang itu setelah pulang dari rumah mamanya dia menerima panggilan papanya pula. Papanya mengajak Qalisha Humaira makan malam bersama. Katanya ada perkara yang ingin dibincangkan. Qalisha Humaira hanya bersetuju. Hatinya berdetik, baru jumpa mama, lepas tu jumpa papa pulak. Bila agaknya boleh jumpa mereka berdua serentak?

Ketika menikmati makan malamnya, papanya bertanyakan mengenai persetujuannya untuk berkahwin lain. Dengan Aunty Sarah. Aunty Sarah yang cantik, muda dan berseri tetapi tidak pernah disukai Qalisha Humaira. Baginya Aunty Sarah hanya gilakan kesenangan papanya. Tidak lebih dari itu. Mungkin juga papanya tergolong dalam golongan handsome, menjadi satu pakej papanya untuk Aunty Sarah!

”Kalau papa rasa bahagia, adik tak kisah.” Ayat yang hampir sama digunakan untuk menjawab pertanyaan mamanya kepada papanya. Hatinya bertambah pedih. Terlalu perit sehingga menyebabkan air matanya mengalir ketika bersendirian malam itu.

Sekali lagi, di port biasanya Qalisha Humaira menangis sambil merokok. Air matanya mengalir tanpa henti. Dia mematikan puntung rokok itu dan terduduk. Dia benar-benar menangis. Tersedu-sedu tanpa sesiapa memujuknya. Dia melepaskan tangisannya dengan besunguh-sungguh. Sesiapa yang melihat pasti dapat merasakan penderitaannya. Kerana itu dia tidak pernah menangis di depan sesiapa pun. Dia tidak mahu orang lain menyaksikan keperitannya itu.

Tanpa disedarinya sepasang mata milik Iskandar Zulkarnain memerhati dari kejauhan. Hati lelaki itu berdetak. Melihat seorang gadis menangis sebegitu hatinya terasa sayu. Kamera DSLR yang tergantung dilehernya di angkat. Dia mula merakam gambar gadis itu.

Iskandar Zulkarnain sebenarnya sudah kerap memerhatikan Qalisha Humaira. Hampir setiap kali wajah sebelum dan selepas Qalisha Humaira merokok diperhatikannya. Dia menjadi pemerhati di setiap kemarahan dan kesedihan gadis itu. Pemerhati yang setia. Pada mulanya dia hanya memerhati, tapi kini dia terasa mahu menegur. Tetapi bukan kali ini. Dia tidak tahu apa yang boleh diperkatakan pada gadis itu.

Dan malam itu Qalisha Humaira melangkah lesu ke apartmentnya dengan hati yang walang. Dia berharap esok, dia mampu bangun dan menjalani hari-harinya seperti biasa.

*****

Di library kolej mereka kelihatan lengang. Iskandar Zulkarnain memandang Qalisha Humaira yang sedang termenung di hadapan bukunya. Buku itu tidak di belek. Sekadar memandang tanpa berbuat apa-apa. Seketika, kelihatan dua orang kawan Qalisha Humaira menghampiri. Aneh, secepat itu, sebuah senyuman terukir dari bibir Qalisha Humaira apabila menyedari kehadiran teman-temannya. Malah gadis itu kelihatan seolah-olah bahagia bersama rakan-rakannya. Senyuman dan gelak tawa sentiasa mengiringi wajah gadis itu di saat dia bersama-sama temannya.

Fake smile with her poker face! Hati Iskandar Zulkarnain berdetik. Dia terasa ingin mengenali gadis itu dengan lebih dekat. Dia ingin mencungkil rahsia gadis itu. Bahunya di tepuk mematikan renungannya terhadap Qalisha Humaira. Amir Hamzah tersenyum-senyum disebelahnya.

“Ai, bro. Pandang orang macam nak telan. Kau bukan tak minat perempuan ke?” Tanya Amir Hamzah mengekor pandangan Iskandar Zulkarnain.

“Agak-agak la. Aku bukan gay okay. Mestilah tertarik jugak dengan perempuan.” Iskandar Zulkarnain membalas. Serius.

”You, you jangan curang dengan I tau. Nanti I pecahkan cermin kereta you!” Amir Hamzah masih dalam mood bergurau.

Iskandar Zulkarnain membulatkan matanya. Geli-geleman tubuhnya dirasakan saat itu. Dia memerhatikan sekeliling dalam library itu. Bimbang juga kalau ada yang memasang telinga. Tak ke haru jadinya kalau orang sangka president MPP itu gay, dan dia adalah pasangan lelaki itu? Hell no!

”Stop joking. Gila kau, kalau ada student lain dengar, mampus kita!” Marah Iskandar Zulkarnain.

”Hahaha... Ooo... Rupa-rupanya se-brutal-brutal kau takut jugak ye?” Amir Hamzah mengusik. ”Jom lah, I dah lapar ni sayang. You belanja ye?” Dia meneruskan lakonannya sambil menarik tangan Iskandar Zulkarnain.

”Sengal kau!” Sepantas itu kepala Amir Hamzah menerima satu ketukan dikepala yang agak kuat.

”Woi, sakitlah!” Marah Amir Hamzah pula.

”Padan muka kau!” Balas Iskandar Zulkarnain mengejek.

Akhirnya mereka sama-sama tertawa. Sekumpulan pelajar memerhatikan mereka. Opps... Dalam library mana boleh bising! Lantas kedua-dua teman itu melangkah keluar daripada library itu. Dari kejauhan, mata milik Suraya Ilhami memerhati kedua-dua teman itu.

”Bising betul. Tak padan dengan jawatan president MPP!” Ujar Farhana.

“Alaa… Biasalah, bergurau-gurau macam tu.” Suraya Ilhami membela.

“No comment!” Sahut Qalisha Humaira pula.

Marahnya pada Amir Hamzah kerana dimalukan ketika meeting tempoh hari sudah lenyap. Itulah kelebihan Qalisha Humaira, marahnya hanya sekejap. Cuma kesedihannya yang sukar di tanganinya sendiri. Dia memerlukan masa untuk mengubat rawan hatinya itu. Entah dari mana, muncul Khairul Hakimi. Dia merapati 3 sekawan itu. Sambil tersengih-sengih dia menegur Qalisha Humaira.

“Qisha, jom pergi makan.” Ajaknya.

”Ehem-ehem. Qisha je ke? Kitorang ni macam mana?” Farhana mengusik.

”Eh, jom sekali lah.” Jawab Khairul Hakimi tersenyum. Aduh, macam mana boleh lupa kat dua orang minah ni pulak?

“Jomlah. Lapar ni. Nanti lah kita sambung pasal presentation Mr. Ajim ye?” Ajak Suraya Ilhami pula. Akhirnya mereka berempat menuju ke food court kolej itu.

*****

Khairul Hakimi tersenyum sendiri di hadapan laptopnya. Matanya memusatkan pandangan ke arah screen laptopnya itu. Kelihatan wajah Qalisha Humaira tersenyum gembira di hadapan sebuah poster. Gambar itu diambilnya ketika mereka keluar bersama-sama menonton wayang. Ketika itu mereka baru sahaja berkenalan. Itupun kerana mereka terlibat dalam satu projek kelas. Sejak hari itu dia mula merapati Qalisha Humaira dan dia sedar dia sudah jatuh hati kepada gadis itu cuma dia malu untuk menyatakan perasaannya itu. Baginya Qalisha Humaira hanya menganggap dia sebagai teman satu group membuat assignment, tidak lebih dari itu.

Ketika makan tengah hari tadi dia sengaja mengambil tempat di sebelah Qalisha Humaira. Nasib baik Suraya Ilhami dan Farhana tidak banyak soal. Ketika makan, tanpa sengaja Qalisha Humaira menyedut minumannya.

“Opps… Sorry… Sorry… Qisha ganti air lain ye.” Qalisha Humaira bersuara. Wajahnya kelihatan begitu bersalah.

“Tak pe la.  I tak kisah lah…” Khairul Hakimi bersuara sambil menyedut airnya itu. Indirect kiss! Hatinya berkata-kata.

Dia tersenyum sendiri mengenang peristiwa itu. Kadang kala dia ingin berterus terang perasaannya kepada Qalisha Humaira tetapi dia amat takut dengan reaksi gadis itu. Akhirnya dia mengambil keputusan agar perasaan cintanya itu disimpan jauh di sudut hati. Kalau ada jodoh, adalah tu… Putus hatinya.

*****

Friday, September 23, 2011

Kisah Cinta Qalisha 3

BAB 3

Malam itu Qalisha Humaira menapak ke port biasanya. Dia menggerutu marah. Hatinya benar-benar panas dengan sikap housematenya yang seorang itu. Qalisha Humairah dituduh meminati Amir Hamzah.  Lebih menyakitkan hatinya, housematenya yang bernama Aryana Ilhami itu adalah adik kepada Suraya Ilhami, rakan sekelasnya merangkap rakan satu groupnya membuat assignment! Nasib baiklah dia tidak serumah dengan Suraya Ilhami, kalau tidak mesti keadaan menjadi lebih rumit. Aryana Ilhami menangis-nangis memintanya menjauhi Amir Hamzah. Penat dia menerangkan kepada Aryana Ilhami mengenai hal itu.

“Betul, Yana. Akak memang tak ada apa-apa perasaan pada Amza. Dia kan pakwe Yana, akak memang tau tu. Dan akak tak pernah pun tersuka kat dia. Percayalah.” Pujuknya.

“Tapi saya nampak dia pandang akak hari tu.” Balas Aryana Ilhami teresak-esak.

What the hell? Dah pakwe kau pandang aku, aku pulak yang kena. Si Mr. President ni pun satu, dah ada awek nak usha-usha aku pulak! Susah betul!

Akhirnya setelah hampir sejam memujuk, barulah Aryana Ilhami berhenti menangis. Dasar budak-budak bercinta! Hatinya mengutuk keras. Dan malam itu sekali lagi kerana Amir Hamzah, dia merokok membuang rasa marahnya! Saat dia menyalakan nyalaan puntung rokok kedua, dia terasa ada orang menghampirinya. Crap! Dia menundukkan wajahnya. Berharap walau sesiapa pun dihadapannya tidak mempedulikannya.

“Qalisha Humaira!” Namanya diseru lelaki itu.

Spontan Qalisha Humaira mengangkat wajahnya. Dia merenung mata lelaki itu. Lelaki yang bernama Iskandar Zulkarnain, agak terkenal dengan wajah handsome, anak orang berada yang sedikit nakal itu. Konon-kononnya dia pernah dinasihatkan untuk berhenti kolej kerana melakukan kesalahan bergaduh dan juga merokok dalam kolej kediaman. Oppss... Merokok? Hahaha…

Tetapi lelaki itu tidak berhenti belajar, malah berkawan baik pula dengan President MPP! Dan kedengaran juga desas-desus mengatakan lelaki itu sudah insaf maka semua kesalahan lelaki itu dimaafkan. Senang betul ceritanya!

Lamunan Qalisha Humaira terhenti. Rokok ditangannya disambar lelaki itu. Tanpa berkata apa-apa Iskandar Zulkarnain menghidupkan lighter dan menikmati rokok itu. Qalisha Humaira mengambil keputusan untuk melarikan dirinya. Dia mula bergerak, melangkah menjauhi lelaki itu.

“Kalau kau pergi, aku akan beritahu semua orang kau merokok!” Lelaki itu mengugut tanpa memandang Qalisha Humaira.

Langkah Qalisha Humaira terhenti. Dia menanti ayat-ayat yang bakal keluar daripada mulut lelaki itu.

“Apa agaknya orang akan kata bila tahu Qisha MPP ni seorang perokok?” Tanya Iskandar Zulkarnain.

Qalisha Humaira ketawa. Perlahan dan sinis. ”Agak-agak kau, siapa yang percaya kata-kata kau. Siapa tak kenal Iskandar Zulkarnain? Suka mengenakan orang. Dengan reputasi ’baik’ kau tu, agak-agak kau ada yang percaya ke?” Qalisha Humaira membalas, berani.

”Wow, so you do know me? Popular jugak la aku ni kan?” Lelaki itu masih mahu bermain tarik tali.

”Perasan!” Sebaris perkataan itu terpacul daripada mulut Qalisha Humaira.

”Hahaha... Mungkin ini akan buat kau terdiam dan fikir balik apa yang kau cakapkan tu.” Lantas Iskandar Zulkarnain menghulurkan beberapa keping gambar.

Mulut Qalisha Humaira ternganga. Gambar-gambar itu menunjukkan dia sedang merokok. Dan diantara beberapa keping gambar itu terselit sekeping gambarnya sedang menangis. Buruk betul muka aku masa tu! Hatinya sempat berkata-kata.

”Apa yang kau nak?” Getaran suara Qalisha Humaira terkeluar.

”Emm. Esok kita berjogging tepat 7 pagi. Aku tunggu kau depan pondok pak guard esok. Siap kau kalau kau tak datang.” Ujarnya sambil mendekati Qalisha Humaira. ”Ini aku punya!” Tambah lelaki itu lagi. Ditayangkan kotak rokok dan lighter milik Qalisha Humaira dalam genggamannya. Lelaki itu berpaling dan melangkah pergi sambil mengangkat tangannya melambai ke arah Qalisha Humaira tanpa memandang gadis itu.

Qalisha Humaira terpaku. Habis aku!

*****

Qalisha Humaira termengah-mengah mengejar Iskandar Zulkarnain. Lelaki itu memperlahankan lariannya. Dia sengaja membiarkan gadis itu mengejarnya. Saat Qalisha Humaira menyaingi lariannya, dia berhenti secara tiba-tiba. Larian Qalisha Humaira turut terhenti.

“Kenapa?” Sepatah pertanyaan Qalisha Humaira. Hairan dia melihat lelaki itu tiba-tiba berhenti. Tadi beria-ia lari, tiba-tiba berhenti pulak!

”Kau tu. Dah penat sangat aku tengok. Semput je. Nampak sangat kan kau ni jarang bersenam.” Slumber lelaki itu membalas.

”Huh, aku la yang penat? Bukan kau ke?” Tanya Qalisha pula membalas.

Iskandar Zulkarnain tersenyum. Cepat mesra betul perempuan ni. Dia memandang wajah Qalisha Humaira yang dibasahi keringat itu. Wajah itu nampak tenang. Mungkin tidak setenang hatinya. Dia sedar disebalik kejernihan mata Qalisha Humaira mengandungi ’sesuatu’ yang begitu berat untuk gadis itu. Sesuatu yang sukar ditafsir dengan kata-kata. Penderitaan yang dalam. Dan dia bertekad untuk memahami gadis itu. Menjadi sebahagian daripada hidup gadis itu, berkongsi segala suka-duka gadis itu.

Qalisha Humaira mengelap mukanya dengan tuala kecil yang memang dibawanya dari tadi. Dia dapat merasakan peluh yang jatuh daripada dahinya mula membasahi seluruh muka. Iskandar Zulkarnain menghulurkan tangan menarik tuala itu dan mengelap mukanya pula. Qalisha Humaira mengetap bibir. Berani betul mamat ni!

”Woit, kotorlah!” Marah Qalisha Humaira.

”Apa? Tuala ni ke muka aku?” Tanya Iskandar Zulkarnain pula.

Qalisha Humaira terdiam. Kini dia pula memandang wajah Iskandar Zulkarnain. Mata yang agak sepet, hidung mancung terletak cantik pada muka yang berkulit cerah dan licin. Wajah lelaki itu yang memang tergolong dalam lelaki kacak memang tidak dapat disangkal oleh Qalisha Humaira. Otaknya berfikir mahu mengenakan lelaki itu.

“Ha, nanti muka kau naik jerawat baru padan muka. Peluh aku ni ada bakteria tau.” Separuh mengugut kedengaran suara Qalisha Humaira.

”Oh ye ke?” Wajah Iskandar Zulkarnain bertukar warna. Lantas dia mengusap-usap muka. Tanpa disedari Qalisha Humaira, mata lelaki itu masih menatap wajahnya. Iskandar Zulkarnain menangkap riak wajah ceria Qalisha Humaira mengenakannya. Cis, nak kenakan aku lah tu… Jaga kau! Hatinya berbisik.

Hahaha… Tau takut. Wah, lelaki ini betul-betul jaga muka! Nak jadi model ke? Dalam hati Qalisha Humaira ketawa mengutuk. Tetapi tidak lama kemudian kedengaran suara Qalisha Humaira menjerit. Iskandar Zulkarnain mengelap tuala kecil itu ke wajah Qalisha Humaira pula.

”Tak aci lah kalau muka aku je naik jerawat.”Ayat itu terpacul keluar bersama dekahan ketawa Iskandar Zulkarnain. Qalisha Humaira mengetap bibir. Iskandar Zulkarnain meneruskan lariannya meninggalkan Qalisha Humaira yang sedang marah. Dia bimbang jika gadis itu menyakiti  hati dan tubuhnya.

*****